Kucing calico Yontama dilantik ketua stesen kereta api ketiga

WAKAYAMA – Seekor kucing calico dilantik sebagai ketua stesen kucing ketiga di sebuah hentian kereta api tempatan di Jepun.
Memetik laporan Kyodo News, kucing bernama Yontama itu meneruskan tradisi hampir dua dekad dalam usaha merancakkan pelancongan serta membantu menyelamatkan laluan tersebut daripada kesukaran kewangan, selain mencetuskan langkah serupa oleh pengendali rel lain.
Dalam satu majlis di laluan Kishigawa di Stesen Kishi pada Rabu, syarikat kereta api, Wakayama Electric Railway Co turut memperkenalkan rekrut pelatih kucing terbarunya, Rokutama.
Pendahulu Yontama, iaitu Nitama juga seekor kucing calico, namun mati pada November tahun lepas dan dinamakan sebagai ketua stesen kehormat.

Laluan Kishigawa mula menarik perhatian masyarakat di seluruh negara selepas melantik seekor kucing bernama Tama sebagai ketua stesen kucing pertamanya pada 2007.
Tama berjaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara serta memastikan kelangsungan kewangan laluan berkenaan.
Langkah itu kemudian mencetuskan trend dalam kalangan laluan kereta api tempatan lain yang berdepan kesukaran, dengan melantik kucing, anjing, arnab dan haiwan lain sebagai ketua stesen di seluruh Jepun.
Presiden Wakayama Electric Railway, Kojima Mitsunobu menyarungkan pingat berukir gelaran ketua stesen kepada Yontama, yang disambut tepukan orang ramai di hadapan bangunan stesen di Kinokawa, di sini.
Suri rumah dari Fujidera, Osaka, Chisako Asano, 52, yang merupakan peminat sejak era Tama berkata, dia berharap ketua stesen kucing itu akan terus menjaga Laluan Kishigawa sebaik mungkin.
Ringkasan AI
- Seekor kucing calico bernama Yontama dilantik sebagai ketua stesen kucing ketiga di Jepun untuk merancakkan pelancongan dan membantu menyelamatkan laluan kereta api dari kesukaran kewangan
- Tradisi melantik kucing sebagai ketua stesen bermula hampir dua dekad lalu dengan kucing pertama bernama Tama yang berjaya menarik pelancong dan memastikan kelangsungan kewangan laluan tersebut
- Yontama menggantikan Nitama yang juga seekor kucing calico dan telah menjadi ketua stesen kehormat sehingga mati pada November tahun lepas
- Wakayama Electric Railway Co. juga memperkenalkan rekrut pelatih kucing terbaru mereka, Rokutama dalam satu majlis di Stesen Kishi
- Langkah melantik kucing sebagai ketua stesen telah mencetuskan trend di kalangan laluan kereta api lain di Jepun untuk menarik pelancong dan mengatasi kesukaran kewangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

