'Caj terus RM100 kalau nak untung sangat'

Laporan muka depan akhbar Sinar Harian semalam.
Laporan muka depan akhbar Sinar Harian semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - "Buat apa bank hendak sorok-sorok caj 50 sen hingga RM2, caj terus RM100 kalau hendak untung sangat."

Demikian kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan kepada beberapa buah bank di negara ini bertindak mengenakan caj antara 50 sen hingga RM2 setiap kali pelanggan berurusan di kaunter, Mesin Smart Recycle (SRM) dan Mesin Deposit Cek (CQM) bermula bulan Oktober hadapan.

Beliau berkata, tindakan terkini beberapa bank berkenaan kepada pelanggan bagi tujuan bayaran kad kredit dan pinjaman kewangan mengundang rasa hairan PPIM kerana mereka tidak boleh sesuka hati mengenakan caj perkhidmatan tanpa kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM).

Lebih mengejutkan, Nadzim menegaskan tindakan itu dibuat bukan disebabkan industri perbankan negara terkesan dengan kegawatan ekonomi dunia, sebaliknya tidak dijelaskan secara tuntas.

Nadzim
Nadzim

"Dalam hal ini, saya melihat BNM dan kesatuan bank negara ini perlu dipertanggungjawabkan kerana tidak mendapatkan pandangan pengguna mewakili majoriti pemegang saham bank-bank terlibat sebelum melaksanakan tindakan itu.

"Sepatutnya dalam isu ini BNM kena ambil tindakan awal campur tangan dengan mengarahkan bank menghentikan caj perkhidmatan membebankan pelanggan dalam kadar segera, bukan bersikap tunggu dan lihat," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Nadzim turut bimbang senario terbaharu ini akan mewujudkan pesta naik harga perkhidmatan dalam kalangan pemain industri lain tanpa kawalan berikutan tindakan penguatkuasaan longgar oleh agensi kerajaan bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kesemua bank terbabit dengan keputusan mengenakan caj membebankan pelanggan itu patut diambil tindakan undang-undang dan dikenakan denda setimpal.

"Melihat situasi terkini PPIM turut menyarankan kerajaan mengkaji balik fungsi BNM dalam mengawal selia industri perbankan negara ini supaya peranan agensi kerajaan itu lebih membela nasib pengguna dan pelanggan terdiri rakyat biasa.

"PPIM turut menyarankan pengguna dan pelanggan bank menyuarakan protes terhadap keputusan pihak bank secara berterusan dan besar-besaran, melalui penyerahan surat aduan kepada BNM dan PPIM sehingga pihak bank bersetuju memulangkan semula wang caj dikutip," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan BNM diminta campur tangan dalam isu caj perkhidmatan dikenakan pihak bank ke atas pelanggan kerana perlaksanaannya kelak dilihat membebankan pengguna.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, bank tidak sewajarnya mengaut keuntungan dengan cara sedemikian kerana sudah memperoleh keuntungan melalui simpanan pelanggan dan perkhidmatan pinjaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Caj bank di kaunter, CDM 'mencekik' rakyat: Rais

Caj perkhidmatan: Fomca minta BNM campur tangan