Peniaga didenda RM5,000 ceroboh Hutan Simpan Koh Moi

Barang rampasan daripada tertuduh yang menceroboh sebahagian Kompartmen 11 Hutan Simpan Koh Moi Kedah pada 9 Mac lalu turut di bawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
Barang rampasan daripada tertuduh yang menceroboh sebahagian Kompartmen 11 Hutan Simpan Koh Moi Kedah pada 9 Mac lalu turut di bawa ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang peniaga Abdullah Hassan, 58, didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini kerana menceroboh sebahagian Kompartmen 11 Hutan Simpan Koh Moi Kedah pada 9 Mac lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran memerintahkan tertuduh dipenjara selama 6 bulan jika gagal membayar denda yang dikenakan.

Selain itu tertuduh juga diarah membayar ganti rugi sebanyak RM2,000 kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah selain barang rampasan seperti parang dan mesin gergaji (chain-saw) dilucuthak.

Abdullah mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 81(1)(g), Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 (Akta 313) iaitu menceroboh hutan simpan dan Seksyen 81(1)(e) Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 [Akta 313] iaitu membersih atau membajak mana-mana tanah bagi tujuan tanaman tanpa kebenaran yang sah.

Bagaimanapun kenderaan milik tertuduh iaitu jenis Ford Ranger yang dirampas oleh pihak berkuasa dikembalikan semula kepadanya.

Murtazadi sebelum menjatuhkan hukuman tersebut mengharapkan keputusan itu akan memberikan pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat tentang kepentingan menjaga hutan simpan dan menjadi kesalahan menceroboh jika tidak mempunyai kebenaran.

Dalam prosiding yang sama, seorang warga Rohingya, Moktul Husson Guramiah, 25, yang turut dituduh menceroboh sebahagian Kompartmen 11 Hutan Simpan Koh Moi Kedah pada 9 Mac lalu gagal memahami pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dan Murtazadi memutuskan agar seorang jurubahasa Myanmar dilantik dan bacaan kes dilakukan semula pada 14 Oktober depan.

Artikel Berkaitan: