Pemandu lori didenda RM5,000 seludup 100 ekor kambing

Tertuduh (depan) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Isnin.
Tertuduh (depan) ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan seorang pemandu lori menyeludup 100 ekor kambing mengundang padah apabila dia didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Tertuduh, Wan Mohamad Aizat Wan Ismail, 23, mengaku bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan dihadapan Majistret Norlina Maludin.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kemajuan, Bandar Baru di sini kira-kira jam 8.50 pada 27 September tahun lalu.

Tindakan itu dilakukan tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar yang diberi kuasa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Perenggan i (b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang mana diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh di hukum di bawah Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000.

Tertuduh berdepan hukuman penjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan ternakan bernilai RM 35,070 dilucuthak dan menjadi hasil kerajaan sementara lori yang digunakan dikembalikan kepada pemilik.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd Shahihan Mohd Tahar dan Fazlizan Ishak Khan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu telah menahan sebuah lori dalam keadaan tertutup rapat dengan kanvas coklat di bahagian belakang lori disyaki membawa ternakan dari arah Kampung Beting Lintang, Besut.

Hasil pemeriksaan pada bahagian kenderaan itu mendapati terdapat 100 ekor kambing yang dipercayai diseludup dari Thailand berada di bahagian belakang lori berkenaan.