VEP di KSAB, PSI pada waktu puncak ditangguh sementara

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

PUTRAJAYA - Penguatkuasaan permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP) di semua laluan keluar di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, Johor semasa waktu aliran trafik puncak ditangguhkan sementara sehingga notis baharu dikeluarkan.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan hari ini berkata, penangguhan itu dibuat berikutan beberapa isu yang dibawa ke pengetahuan kementerian terutamanya berkaitan kesukaran mendapatkan janji temu untuk pemasangan tag VEP-RFID pada kenderaan.

Sehubungan itu, katanya kementerian akan membuka satu lagi Pusat Fitmen (FC) bagi pemasangan tag VEP-RFID di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di KSAB (aliran trafik keluar ke Singapura) sebagai tambahan kepada empat FC sedia ada.

"Pemilik (kenderaan asing) boleh mendapatkan tag VEP-RFID mereka dipasang di FC ini setelah semua persiapan pembukaan selesai. Tarikh operasi FC tambahan ini akan diumumkan tidak lama lagi," kata kenyataan itu.

Kementerian itu meminta pemilik kenderaan asing mengambil kesempatan dengan pembukaan FC tambahan dan penangguhan itu untuk segera mendaftar dan mendapatkan tag VEP-RFID bagi mengelakkan sebarang kesulitan untuk masuk dan keluar dari Malaysia pada masa akan datang.

Kementerian Pengangkutan berkata, ketika ini pemilik kenderaan asing boleh menyelesaikan proses pendaftaran melalui portal https://vep.jpj.gov.my dan memasang tag VEP-RFID di empat FC sedia ada iaitu di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) arah selatan Gelang Patah; tempat meletak kenderaan terbuka Plaza Angsana; RnR Pandan dan plaza tol Lima Kedai.

"Kementerian juga telah mengambil langkah-langkah untuk mengemas kini sistem dan memastikan kelancaran proses pendaftaran semua pemilik kenderaan asing," katanya.

Pendaftaran untuk VEP telah dibuka sejak April 2019 dan tempoh enam bulan yang diberikan kepada pemilik kenderaan asing untuk menyelesaikan proses pendaftaran berakhir pada Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Pengangkutan berkata, Seksyen 66H Akta Pengangkutan Jalan 1987 menetapkan bahawa mana-mana orang yang memandu kenderaan asing ke Malaysia hendaklah memohon VEP.

VEP adalah komponen penting dalam usaha kerajaan untuk menangani masalah pemilik kenderaan asing yang melanggar undang-undang pengangkutan jalan raya dan isu pihak yang tidak bertanggungjawab membawa masuk atau keluar kenderaan yang dicuri atau tidak sah pendaftaran merentasi sempadan negara.

"VEP membolehkan JPJ memiliki keupayaan untuk menyimpan rekod dan memantau kenderaan bermotor asing yang bergerak masuk dan keluar negara seterusnya mencapai objektif utama peruntukan undang-undang ini," jelasnya.

Kementerian Pengangkutan berkata, untuk maklumat lanjut dan terperinci mengenai VEP, orang ramai boleh menghubungi talian +607-5950669 atau emel kepada aduanvep@jpj.gov.my. - Bernama