Kebakaran hutan 200 hektar, punca IPU bahaya di Sarawak

 Kebakaran hutan dan tanah gambut seluas 200 hektar dilaporkan di Sri Aman Sarawak hari ini menyebabkan bacaan IPU pada tahap bahaya.
Kebakaran hutan dan tanah gambut seluas 200 hektar dilaporkan di Sri Aman Sarawak hari ini menyebabkan bacaan IPU pada tahap bahaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kebakaran hutan dan tanah gambut seluas 200 hektar dilaporkan di Sri Aman Sarawak hari ini menyebabkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap bahaya, demikian menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Nadma dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan di Sarawak selama dua hari bermula hari ini dengan memberi tumpuan kepada kawasan Sri Aman.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), 80 hektar daripada kawasan yang terbakar di Sri Aman masih belum berjaya dipadamkan.

Menurut Nadma, kerja-kerja 'fire break' telah dibuat menggunakan lima buah excavator dan bantuan pemadaman menggunakan pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan bermula esok.

"Masalah yang dihadapi adalah tidak ada sumber air yang berhampiran," menurut agensi itu.

Menurut Nadma, helikopter bomba masih belum mendapat kebenaran daripada menara kawalan untuk memberi bantuan akibat jarak penglihatan yang terhad.

Tambahnya, sensor bacaan IPU yang berada di sebuah stadium terletak 3km dari kawasan kebakaran dan tiupan angin yang membawa asap ke lokasi sensor telah menyebabkan bacaan IPU naik mendadak.

Bacaan IPU di Sri Aman pada jam 11 pagi hari ini ialah 417. Sejak jam 6 pagi, IPU di Sri Aman mencecah paras bahaya dengan bacaan 301.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan Jabatan Alam Sekitar pada jam 11 pagi, tiga kawasan lain di Sarawak mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu Kuching (244), Sarikei (225) dan Samarahan (218).

Mengenai OPA yang dilaksanakan semalam di Selangor, Perak dan Pulau Pinang, Nadma berkata, ia berjaya menghasilkan hujan terutamanya di kawasan utara Semenanjung Malaysia walaupun tidak secara menyeluruh.

"Antara kesukaran yang dihadapi adalah masalah mencari awan yang sesuai akibat jerebu tebal dan kesukaran pesawat untuk melalui kawasan sasaran kerana bentuk muka bumi yang berbukit-bukau," katanya.

Menurut Nadma, ia telah mengedarkan 2.1 juta topeng muka, dengan 500,000 daripadanya di Sarawak dan 1.6 juta di Semenanjung.

Menurut Nadma, penggunaan penutup hidung dan mulut jenis N95 adalah yang paling berkesan untuk kegunaan ketika keadaan berhabuk dan berjerebu.

Dalam pada itu, sejumlah 2,696 sekolah di seluruh negara ditutup hari ini melibatkan 1.7 juta pelajar.

Di Sarawak jumlah sekolah yang ditutup ialah 1,037, Selangor (939), Pulau Pinang (399), Kuala Lumpur (296) dan Putrajaya (25).

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. - Bernama