Komisen: PDAM harap kerajaan timbang secara positif

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pengusaha stesen minyak mengharapkan kerajaan mempertimbangkan secara positif tuntutan mereka agar menaikkan kadar komisen petrol dan diesel bagi menampung kos operasi yang meningkat.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia (Bumipeda), Datuk Abu Samah Bachik berkata, pihaknya berharap agar kerajaan menimbangkan sebaik mungkin apa yang dituntut bagi mengelakkan semakin banyak stesen minyak akan terjejas dan besar kemungkinan terpaksa menghentikan operasi.

“Hari ini (semalam), PDAM (Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia) telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menuntut kerajaan menaikkan kadar komisen petrol dan diesel.

“Jika memorandum ini tidak berjaya, terpaksa pengusaha minyak mengurangkan tempoh operasi harian, dari 24 jam kepada 18 jam sahaja dan ini turut melibatkan stesen minyak di lebuhraya serta kawasan bandar.

“Setakat ini kita belum ada tarikh tertentu untuk melaksanakan waktu operasi baharu itu, dan sangat berharap agar kerajaan positif menerima apa yang dibawa dalam memorandum itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Memorandum diserahkan oleh Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz kepada Dr Mahathir di Putrajaya.

Dr Mahathir dijangka mengadakan pertemuan dengan PDAM bagi membincangkan perkara itu, hari ini.

Sementara itu, Abu Samah berkata, pendekatan ini terpaksa dilaksanakan memandangkan margin keuntungan yang rendah disebabkan pelaksanaan harga apungan mingguan bakal menyebabkan operasi stesen minyak terjejas.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, satu perjumpaan bersama dengan ahli-ahli PDAM daripada 3,500 stesen minyak seluruh negara diadakan bagi membincangkan dengan lebih lanjut hasil keputusan kerajaan mengapungkan dan menetapkan harga produk petroleum secara mingguan.

Khairul Annuar ketika ditemui media selepas perjumpaan itu berkata, sekarang ini, komisen pengusaha minyak adalah 12.19 sen untuk petrol dan 7 sen untuk diesel (seliter), namun tidak memperoleh sepenuhnya kerana ada yang ditolak sebagai yuran lesen operator kepada syarikat minyak antara 75 sen hingga 3 sen.

Justeru itu, PDAM meminta kerajaan menaikkan kepada 15 sen setiap liter susulan kali terakhir kenaikan itu dibuat adalah 10 tahun lalu.