Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah satu kewajipan

Antara 21 orang yang ditahan di sebuah pusat kegiatan Syiah dalam satu serbuan baru-baru ini. Gambar kecil: Musa
Antara 21 orang yang ditahan di sebuah pusat kegiatan Syiah dalam satu serbuan baru-baru ini. Gambar kecil: Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah bukanlah suatu pilihan sebaliknya ia satu kewajipan sebagaimana yang dianjurkan dalam nas-nas syarak.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, ia adalah satu-satunya manhaj yang boleh diyakini mengikuti jejak langkah yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.

“Sekiranya fahaman bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah dibenarkan untuk dikembangkan di negara ini ia dikhuatiri mengundang kemudaratan dari segi iktikad atau kegelinciran akidah, melibatkan hal ketuhanan, kenabian, perkara ghaib dan keautoritian sumber ilmu.

“Ia juga berisiko mencetuskan pelbagai implikasi lain seperti fanatisme, ekstremisme, terrorisme, liberalisme, kafir mengkafir, perpecahan dan adakalanya membawa kepada peperangan dan pembunuhan, sebagaimana berlaku di negara lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, penduduk di negara ini sudah lama berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan perkembangan itu telah sebati dengan rakyat di negara ini.

Jelasnya, ajaran Syiah bukan berasal daripada negara ini dan ia cuba dibawa masuk daripada negara luar.

Mengulas mengenai kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mengatakan hak untuk mengamalkan apa-apa agama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan ia perlu dinikmati oleh semua tanpa bimbang dikenakan tindakan, Musa berkata, Suhakam dinasihatkan supaya tidak mengelirukan orang awam.

“Perkara 11 Perlembagaan ada (5) subseksyen kecil dan Suhakam perlu membacakan kepada orang awam kesemua sub-seksyen dalam Perkara 11.

Artikel Berkaitan:

“Benar, sub-seksyen 11 (1) berbunyi – tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya tetapi tertakluk kepada Fasal (4).

“Fasal (4) berbunyi – Undang-Undang negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam,” jelasnya.

Beliau menambah, perkara 11 juga perlu dibaca bersama dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan mengenai Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Terdahulu Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mencadangkan pendidikan diberikan untuk mengatasi fobia terhadap Syiah.

Musa berkata, pendidikan perlu diberikan secara telus dan berterus terang apakah sebenarnya fahaman Syiah dan kenapakah Syiah tidak dianggap sebagai sebahagian Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Suhakam melahirkan kebimbangan berkenaan serbuan terhadap pengikut Syiah di Gombak baru-baru ini yang turut melibatkan tangkapan kanak-kanak.

Suhakam dalam satu kenyataan berkata, hak untuk mengamalkan apa-apa agama termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan ia perlu dinikmati oleh semua tanpa bimbang dikenakan tindakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suhakam bidas serbuan terhadap pengikut Syiah

Syiah tidak boleh disebarkan walaupun secara tertutup: Harussani