X

Kindly register in order to view this article
!

Pembenihan awan bergantung kepada cuaca semasa: MB Selangor

Keadaan berjerebu di sekitar Stadium Shah Alam hari ini. - Foto Delta 4 Shah Alam
A
A

SUNGAI BULOH - Pelaksanaan operasi pembenihan awan bagi mengurangkan kesan jerebu di Selangor bergantung kepada keadaan cuaca semasa, kata Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Beliau berkata, ia berikutan hujan di beberapa kawasan di negeri ini sejak malam tadi.

"Kita akan tengok dari masa ke masa dan saya akan dapatkan maklum balas daripada Jabatan Alam Sekitar (sebelum melakukan pembenihan awan).

"Kalau perlu sepatutnya hari esok kita akan buat pembenihan awan tetapi kalau dah hujan, mungkin kita boleh tengok keadaan lagilah," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci Rumah Selangorku, Hibiscus 3 kepada 270 pemilik rumah pada satu majlis anjuran KL-Kepong Country Homes Sdn Bhd hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, bagaimanapun sekiranya keadaan mendesak, kerajaan negeri akan mengaktifkan pelan tindakan bencana dan melakukan pembenihan awan di kawasan terlibat.

"Kita tidak akan tunggu sehingga IPU (Indeks Pencemaran Udara) melebihi 200 baru kita buat pembenihan awan.

"Kalau IPU di kawasan tersebut catat lebih 150 sepanjang tempoh 24 jam, tindakan susulan akan diambil dengan melakukan pembenihan awan," katanya.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan akan melakukan operasi pembenihan awan di Selangor esok atau Isnin ini.

Ia susulan kawasan Johan Setia, Klang mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat, sejak Khamis lepas.

Johan Setia mencatatkan bacaan IPU 191 pada 9 pagi tadi diikuti Banting (170), Petaling Jaya (161), Shah Alam (155), Klang (152) dan Kuala Selangor (131).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!