Pembenihan awan berjaya tingkat paras empangan Air Itam

Operasi pembenihan awan yang dijalankan pada Isnin menunjukkan peningkatan air di Empangan Air Itam. - Foto Bernama
Operasi pembenihan awan yang dijalankan pada Isnin menunjukkan peningkatan air di Empangan Air Itam. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Operasi pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang yang dijalankan pada Isnin menunjukkan peningkatan air di Empangan Air Itam di sini, susulan berlaku hujan di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, setakat Isnin, paras Empangan Air Itam adalah pada tahap 48.6 peratus berbanding 47 peratus minggu lepas.

"Operasi pembenihan awan semalam itu boleh dikatakan berjaya kerana mencetuskan hujan dan ia membantu meningkatkan paras Empangan Air Itam iaitu kira-kira lebih satu peratus manakala paras air di Empangan Teluk Bahang kekal pada paras 44.2 peratus setakat semalam, sama dengan paras pada minggu lepas.

''Kemungkinan kerajaan negeri akan memohon melaksanakan pembenihan awan lagi namun ia bergantung kepada keadaan cuaca terkini dan semasa.. jika sudah masuk musim hujan mungkin kita tidak lagi perlu operasi pembenihan awan,'' katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Awal Mei lepas media melaporkan simpanan air Empangan Air Itam hanya mampu bertahan untuk 40 hari, manakala Empangan Teluk Bahang pula selama 146 hari, susulan cuaca panas melanda negara ketika ini.

Setakat 8 Mei, Empangan Air Itam merekodkan paras 41.5 peratus manakala Empangan Teluk Bahang pada 48.1 peratus.

Susulan penurunan paras Empangan Air Itam dan Teluk Bahang itu, kerajaan negeri memohon bantuan untuk menjalankan operasi pembenihan awan bagi membantu mencetuskan hujan di kawasan tadahan air tersebut.

Pada Isnin, operasi kedua pembenihan awan di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam telah dijalankan, sebulan selepas operasi pertama.

Sementara itu, Zairil berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mula memasang meter pintar di premis kediaman dan perdagangan di Pulau Pinang, bermula 15 Jun di sekitar kawasan Pulau Tikus dan Tanjung Tokong dan seterusnya ke kawasan-kawasan lain secara berfasa sehingga selesai sepenuhnya pada penghujung tahun depan.

"Pemasangan dan penggantian meter tersebut akan dilakukan oleh pihak juruteknik dan vendor TNB di mana setiap unit yang terlibat dijangka mengalami gangguan bekalan elektrik semasa pemasangan dijalankan.

"Anggaran gangguan di antara 30 minit hingga satu jam bagi setiap unit dan setiap unit akan menerima notis pemasangan meter pintar dan borang B (gangguan bekalan elektrik) sebelum pemasangan dijalankan,'' katanya. - Bernama