Tiada perubahan syarat perjanjian perkhidmatan bekalan air

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) (Gambar kecil: Suhaimi Kamaralzaman)
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada perubahan dalam terma dan syarat perjanjian perkhidmatan bekalan air sedia ada di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman berkata, pengguna di kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mula menerima bil Air Selangor bermula Jumaat ini.

Menurutnya, Air Selangor turut memperkenalkan logo baharu yang melambangkan komitmen syarikat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Air Selangor akan menjadi pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula Jumaat ini.

“Mulai tarikh itu Air Selangor akan melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air kepada pengguna-pengguna di kawasan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Air Selangor dilaporkan akan menjadi pemegang lesen perkhidmatan bekalan air dan operator tunggal bagi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 13 September 2019.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, perkembangan terbaru itu sekaligus bermakna semua konsesi air ditamatkan dan Air Selangor menjadi operator tunggal dalam menyediakan perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, meskipun ia akan mula beroperasi secara rasmi sebagai pemegang lesen perkhidmatan bekalan air bermula Jumaat ini, Air Selangor dan kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai perancangan dan inisiatif bagi meningkatkan kecekapan.