'Negara makin terbeban dengan hutang Bon Samurai'

Paparan skrin laporan berkaitan Bon Samurai kedua. Gambar kecil: Shahir Adnan.
Paparan skrin laporan berkaitan Bon Samurai kedua. Gambar kecil: Shahir Adnan.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Parti Ikatan Malaysia (DPIM) bimbang dengan keadaan ekonomi semasa negara apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu terbitan Bon Samurai kedua diteruskan.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Shahir Adnan berkata, Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bersedia untuk bertindak sekiranya terbitan Bon Samurai kali kedua diteruskan.

"Menurut laporan berita, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengadakan rundingan dengan kerajaan Jepun khususnya Japan Bank for International Cooperation (JBIC) yang akan menjaminkan terbitan Bon Samurai tersebut.

"Berdasarkan laporan, JBIC bersetuju memberikan kadar faedah pinjaman 0.5 peratus dengan tempoh matang 10 tahun.

"Harus diingat, kerajaan Pakatan Harapan telah membuat pinjaman Bon Samurai yang pertama sebanyak 200 bilion Yen pada Mac 2019 dengan faedah pinjaman 0.63 peratus dengan tempoh matang 10 tahun," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan bukanlah mendapat pinjaman 'loan aid' dari Jepun, tetapi kerajaan Malaysia mengeluarkan bon yang dijamin oleh kerajaan Jepun.

"Bon Samurai adalah bon yang dikeluarkan dalam didominasi mata wang Yen di Tokyo oleh syarikat bukan Jepun dan tertakluk kepada undang-undang Jepun.

"Ini bukan kali pertama Malaysia terbabit dalam urusan Bon Samurai sekitar tahun 2015, Maybank pernah menerbitkan 31.3 bilion Yen Bon Samurai yang terdiri daripada dua siri bon kadar tetap dengan tempoh matang 3 tahun dan 5 tahun dengan faedah 0.397 peratus dan 0.509 peratus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, namun begitu, kali ini jumlah terbitan Bon Samurai dilihat dalam kuantiti yang jauh lebih besar dengan tempoh matang lebih lama dan faedah lebih tinggi.

"Ketiga-tiga faktor ini membuka ruang kepada ketidaktentuan ekonomi negara pada hari ini dan 10 tahun akan datang.

"Hutang Bon Samurai yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia dengan jaminan kerajaan asing bakal menjadikan ekonomi Malaysia lebih terdedah kepada mata wang asing terutama Yen," katanya.

Jelasnya, fakta menunjukkan Malaysia mempunyai hutang dalam mata wang asing yang sedikit setiap tahun. Contohnya pada tahun 2017, hanya RM 5.2 bilion hutang negara dalam bentuk mata wang Yen.

"Majoriti hutang negara adalah dalam bentuk Ringgit. Namun begitu, pada Jun 2019, hutang dalam bentuk mata wang Yen telah meningkat kepada RM 13 bilion, mengurangkan hutang luar negara yang dibuat dalam bentuk Ringgit.

"Adakah keadaan sebegini memberikan kebaikan kepada ekonomi negara," katanya.

Katanya, faktor terdedah kepada mata wang asing menjadikan kadar faedah turut terkesan kepada pertukaran mata wang asing.

"Dalam tempoh 10 tahun, tiada siapa akan berani mengatakan bahawa nilai Yen tidak akan berubah. Jika Yen mengukuh berbanding Ringgit, maka nilai pertukaran wang asing melebarkan jurang.

"Ini bakal menyebabkan Malaysia akan membayar lebih banyak kepada pihak Jepun, hari ini nilai Ringgit masih lemah, bukan sahaja dengan US Dolar, tetapi juga dengan mata wang serantau seperti Indonesia Rupiah dan Thai Baht," katanya.

Tambahnya, DPIM juga menggesa Guan Eng memperincikan perbincangan dicapai antara Kementerian Kewangan dan JBIC.

"Lim Guan Eng juga diminta menjelaskan keadaan hutang negara yang makin meningkat walaupun Bon Samurai yang pertama dibuat dengan alasan untuk melunaskan hutang negara yang terdahulu.

"Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) melihat Menteri Kewangan lebih prihatin isu kempen mengutamakan barangan buatan orang Islam berbanding cakna ekonomi negara," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tun M mahu terbitan bon Samurai kedua diteruskan