Air Selangor pemegang lesen tunggal bekalan air KL, Putrajaya, Selangor

Amirudin berucap pada majlis perasmian Air Selangor sebagai pemegang Lesen Tunggal Perkidmatan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
Amirudin berucap pada majlis perasmian Air Selangor sebagai pemegang Lesen Tunggal Perkidmatan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula Jumaat ini Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjadi pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air yang melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata Air Selangor telah berjaya menyempurnakan pengambilalihan kesemua lima syarikat konsesi milik swasta pada April.

Lima syarikat tersebut ialah Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB Water), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB) serta Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

"Kejayaan penstrukturan ini sekali gus memberi erti bahawa semua konsesi akan ditamatkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Air Selangor sebagai Pemegang Lesen Tunggal Perkhidmatan Bekalan Air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, hari ini.

Ketika ditanya pemberita sama ada tarif akan dinaikkan selepas Air Selangor menjadi pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air, beliau berkata kadar air semasa perlu disemak semula.

"Seperti yang saya janjikan saya tidak menafikan tentang kenaikan tarif, tetapi kita perlu mendapatkan formula (semakan tarif),” jelasnya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri dan Air Selangor telah melaksanakan pelbagai perancangan dan inisiatif bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan selepas mengambil alih dua syarikat konsesi pada Okt 2015.

"Sebagai contoh kerajaan negeri telah menyiapkan dua logi rawatan air baharu iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dengan jumlah kos sebanyak RM800 juta bagi meningkatkan rizab margin air terawat di Selangor,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Amirudin berkata Air Selangor telah membelanjakan sebanyak RM1.1 billion sepanjang tempoh 2016 hingga 2018 bagi naik taraf dan membaik pulih infrastruktur bekalan air termasuk loji rawatan air, kolam air dan kerja-kerja penggantian paip serta program pengurangan air tidak berhasil (NRW).

"...nisbah kekerapan insiden paip pecah berdasarkan kepada jumlah paip pecah setiap 100 kilometer telah menunjukkan penurunan daripada 20 kes pada tahun 2016 kepada 13 kes pada tahun 2018,” katanya.

Pada 15 Oktober 2015, Air Selangor telah berjaya mengambil alih PNSB Water dan SYABAS dengan kos pengambilalihan berjumlah RM1.5 bilion.

Proses penstrukturan ini diteruskan dengan pengambilalihan ABASS pada 31 Dis 2015 melibatkan kos pengambialihan RM86 juta diikuti KASB pada 11 Mac 2016 (RM6.4 juta ) sebelum mengambil alih SPLASH pada 24 April 2019 lalu (RM2.55 bilion). - Bernama