Tema warisan sejarah meriahkan reunion bekas pelajar SEMSAS

Sebahagian bekas pelajar SEMSAS segak mengenakan tanjak ketika acara memotong kek sebelum tamat program pertemuan semua pelajar di Tanjung Bidara, di sini malam kelmarin.
Sebahagian bekas pelajar SEMSAS segak mengenakan tanjak ketika acara memotong kek sebelum tamat program pertemuan semua pelajar di Tanjung Bidara, di sini malam kelmarin.
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMASKINI] Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SEMSAS) Kuantan tahun 1978 mengambil inisiatif mengadakan pertemuan semula kali keenam di Tanjung Bidara, di sini malam tadi.

Lebih menarik, perjumpaan yang diatur beberapa bulan lalu mencipta sejarah tersendiri apabila rata-rata yang hadir segak mengenakan pakaian pahlawan Melayu lengkap tanjak bagi lelaki manakala baju kurung kebaya dengan kain kelubung di kepala dipakai bekas pelajar wanita.

Pengerusi program, Ahmad Anuar Abd Aziz berkata, kehadiran rakan-rakannya berpakaian sebegitu bertepatan dengan tema perjumpaan semula yang dinamakan 'warisan sejarah' sekali gus mengenangkan bumi Melaka yang kaya dengan cerita sejarah serta kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Ahmad Anuar (dua dari kiri) bersama beberapa orang rakan ketika menyertai salah satu aktiviti yang diadakan pada program itu.
Ahmad Anuar (dua dari kiri) bersama beberapa orang rakan ketika menyertai salah satu aktiviti yang diadakan pada program itu.

Menurutnya, biarpun objektif program untuk mengeratkan dan merapatkan ukhuwah yang terjalin sejak 40 tahun lalu, dalam masa yang sama dapat memartabatkan pakaian Melayu termasuk tanjak yang kini mula diminati masyarakat.

"Syukur pertemuan berjaya diadakan dan setiap komuniti kami memberikan sokongan padu bukan sahaja dari segi wang ringgit malah komitmen mereka yang begitu teruja untuk datang dengan berpakaian 'sultan Melaka' termasuk beberapa orang guru yang pernah mengajar kami.

"Saya terharu dengan kerjasama yang tidak pernah terhenti dalam kalangan rakan dan ada di antara mereka datang luar dari Melaka termasuk Terengganu, Johor, Pahang, Selangor dan sebagainya," katanya.

Program yang dihadiri 38 orang termasuk empat guru diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti pantun kreatif, pertandingan busana terbaik, acara memotong kek dan lain-lain lagi.

Artikel Berkaitan: