Kadar keciciran sekolah menengah lebih tinggi

Hui Ying
Hui Ying
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan kadar keciciran sekolah menengah lebih tinggi berbanding sekolah rendah kerana kebanyakan pelajar sudah mula bekerja berikutan dihimpit kemiskinan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, sehingga Jun 2022, kadar keciciran di seluruh negara di peringkat sekolah menengah mencatatkan sebanyak 0.99 peratus manakala pada peringkat sekolah rendah adalah 0.07 peratus.

"Kita dapati di peringkat menengah, kadar keciciran lebih tinggi. Kita juga sudah membuat lawatan ke rumah-rumah pelajar yang mengalami keciciran.

"Faktor utama (keciciran) adalah (berpunca daripada) kemiskinan kerana kebanyakan murid menengah sudah mula bekerja.

"Bila mereka sudah mula bekerja, mereka mesti menanggung ekonomi atau sara hidup keluarga masing-masing. Jadi mereka memilih tidak meneruskan pelajaran," katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) yang bertanyakan sejauh mana inisiatif sistem berkualiti tinggi diusahakan oleh KPM diberikan kepada keluarga miskin di bandar dan luar bandar.

Mengulas lanjut, Hui Ying memberitahu, isu keciciran berkenaan menjadi satu masalah sosial yang mesti dihadapi.

Menurutnya, bagi menangani masalah keciciran, KPM telah menyediakan sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan bagi tahun 2023 yang terdiri daripada 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum.

"Bantuan ini turut diagihkan kepada murid yang layak dari keluarga berpendapatan rendah atau miskin.

"Ia seperti Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Bantuan Makanan Asrama (BMA), Bantuan Perjalanan dan Pengangkutan Murid Asrama (PPM) dan Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform (BPS)," ujarnya.

Selain itu, tambahnya, pelbagai bantuan seperti pinjaman buku teks serta khidmat guru bimbingan dan kaunseling serta guru pemulihan turut disediakan bagi menyokong minat murid untuk meneruskan persekolahan.