Aktiviti letupan kuari resahkan penduduk

Khairuddin menunjukkan kuari berhampiran Kampung Petani Kecil Batu 2 ½, Minyak Beku.
Khairuddin menunjukkan kuari berhampiran Kampung Petani Kecil Batu 2 ½, Minyak Beku.
A
A
A

BATU PAHAT - Aktiviti meletupkan batu di kuari berdekatan Kampung Petani Kecil Batu 2 ½, Minyak Beku, di sini mengundang rasa tidak selesa kerana berlaku keretakan pada rumah penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Khairuddin A Rahim berkata dia mendapat laporan daripada penduduk mengenai beberapa bahagian rumah mereka yang retak didakwa berpunca daripada letupan batu yang kuat.

Katanya, aduan penduduk mempunyai asas memandangkan jarak kuari dengan kampung berkenaan sangat dekat.

"Penduduk menjelaskan, letupan dari kuari kadang kala menyebabkan terjadinya gegaran.

"Ini mengundang kesan buruk di mana ada tiga orang penduduk mengadu rumah mereka retak," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tegasnya, isu berkenaan sudah dibawa ke mesyuarat tindakan daerah untuk tindakan susulan diambil.

"Pada 12 September ini ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), isu ini juga akan diusulkan.

"Saya harap perkara ini mendapat perhatian jabatan dan agensi penguatkuasa berkaitan bagi memantau aktiviti kuari dan letupan yang digunakan," katanya.

Artikel Berkaitan: