Kenderaan bawa bakal Exco memasuki Istana Bukit Serene

JOHOR BAHRU - Lebih 10 kenderaan yang membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Johor mula memasuki perkarangan Istana Bukit Serene di sini jam 9 pagi.
Turut kelihatan kenderaan membawa ADUN Paloh yang juga bekas Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han.
Ting Han yang disapa media sebelum memasuki perkarangan istana tersenyum apabila disapa mengenai jawatan Exco yang bakal disandangnya.
“Baik...baik...terima kasih semua,” katanya sambil melambai ke arah petugas media yang hadir membuat liputan.

Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah jawatan berkenaan dijadualkan berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada Sabtu.
Majlis istiadat itu dijadualkan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.
Ahad lepas, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut, selepas Barisan Nasional (BN) melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.
PRN Johor yang berlangsung Sabtu lepas menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

