Pemangku Sultan Johor titah Exco berkhidmat penuh dedikasi demi kesejahteraan rakyat

Tunku Mahkota Ismail ketika berangkat ke Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Taat Setia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru. Foto Facebook HRH Crown Prince of Johor
Tunku Mahkota Ismail ketika berangkat ke Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Taat Setia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, Johor Bahru. Foto Facebook HRH Crown Prince of Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengingatkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan penuh dedikasi, integriti serta keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook baginda bertitah setiap dasar dan keputusan yang dibuat hendaklah berteraskan kepentingan rakyat serta memberi manfaat kepada negeri Johor secara keseluruhannya.

Pemangku Sultan Johor turut bertitah agar semua anggota Exco sentiasa turun padang bagi memahami keperluan masyarakat serta memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dilaksanakan secara cekap, berkesan dan berintegriti.

Titah berkenaan disampaikan sempena Majlis Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Taat Setia Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang berlangsung di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene di sini, Sabtu.

Terdahulu, seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Sultan Johor. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!