Empat muka baharu, enam exco lama dikekalkan dalam pentadbiran Johor

Dari kanan, Muhammad Naqib, Md Israk, Pannir Selvam dan Hasrunizah.
Dari kanan, Muhammad Naqib, Md Israk, Pannir Selvam dan Hasrunizah.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor menyaksikan penyertaan empat muka baharu, manakala enam Exco sedia ada dikekalkan dalam pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi penggal baharu.

Empat Exco baharu itu ialah Md Israk Abdullah (ADUN Kukup) yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar; Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali (ADUN Panti) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan.

Seterusnya, Hasrunizah Hassan (ADUN Pulai Sebatang) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta P Pannir Selvam (ADUN Perling) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya.

Dalam rombakan itu, enam Exco dikekalkan bersama portfolio masing-masing iaitu Datuk Mohd Jafni Md. Shukor (Perumahan dan Kerajaan Tempatan) serta Mohd Hairi Mad Shah (Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi).

Mohd Fared Mohd Khalid (Hal Ehwal Agama Islam), Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi), Lee Ting Han (Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia) serta Ling Tian Soon (Kesihatan dan Alam Sekitar).

Pada masa sama, empat Exco penggal lalu tidak lagi menganggotai pentadbiran negeri iaitu Khairin-Nisa Ismail, Datuk Zahari Sarip, Aznan Tamin dan K. Raven Kumar.

Hanya Khairin-Nisa tidak mempertahankan kerusi DUN Serom pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, manakala tiga lagi iaitu Datuk Zahari Sarip, Aznan Tamin dan K. Raven Kumar berkata memenangi kerusi DUN masing-masing.

Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Exco berlangsung di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Johor Bahru pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Rahim Ramli serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Ridha Abd. Kadir.

Artikel Berkaitan:

Ahad lalu, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar pada PRN Johor ke-16.

PRN Johor yang berlangsung Sabtu lalu menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!