Kaji semula Skim Pencen Perkhidmatan Awam

Mejar (B) Zaidi Ahmad
Mejar (B) Zaidi Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar (B) Zaidi Ahmad tidak bersetuju Skim Pencen Perkhidmatan Awam dihapuskan.

Malah beliau mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula mekanisme baharu yang akan menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam supaya tidak ada pesara yang menerima pencen terlalu tinggi.

“Saya tak setuju pencen dihapuskan, wajar kaji semula agar tidak ada yang terima pencen terlalu tinggi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Zaidi bagaimanapun menyifatkan skim pencen tentera yang menetapkan pencen hanya layak kepada yang berkhidmat melebihi 21 tahun adalah wajar.

“Bagi anggota tentera yang berhenti sebelum pencen adalah atas pilihan mereka sendiri, manakala ada juga yang tidak lulus untuk menyambung perkhidmatan kerana gagal ujian kesihatan, prestasi kerja yang tidak memuaskan, masalah disiplin dan lain-lain.

“Mereka yang berhenti awal mendapat ganjaran wang tunai yang boleh diguna sebagai modal memulakan perniagaan,” katanya.

Sebelum ini, Zaidi pernah menjadi kontroversi apabila beliau dipecat pada 12 Januari 2015 selepas mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal.

Beliau membuat laporan polis ketika Pilihan Raya Umum ke-13 dan tindakan itu dianggap bertentangan dengan etika kerjanya sehingga menjejaskan jawatan dan pencennya, bagaimanapun kes itu telah dapat diselesaikan dengan adil oleh Kementerian Pertahanan pada 2018.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zaidi menggesa kerajaan untuk mengkaji semula pencen untuk ahli politik terutamanya menteri-menteri Kabinet.

“Perlu berkhidmat sekurang-kurangnya dua penggal (10 tahun) baru layak dapat pencen. Kalau berkhidmat selama tiga tahun dah layak dapat pencen, ini amat tidak patut,” tegasnya.

Gesaan beliau ini merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah yang mengumumkan, mekanisme baharu yang akan menggantikan Skim Pencen Perkhidmatan Awam dijangka dilaksanakan tahun depan membabitkan lantikan baharu dalam sektor itu.

Katanya, inisiatif yang disasarkan dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan sehingga RM5 bilion setahun itu bagaimanapun masih perlu diperhalusi dan bergantung kepada keputusan muktamad kerajaan.

Ujar Borhan, kaedah mengurangkan bebanan pencen bagi kerajaan sudah pun dilaksanakan tetapi bukan dalam skala besar.