Jumlah kematian akibat Taufan Dorian meningkat

Lebih 13,000 kediaman dilaporkan musnah atau rosak teruk di Grand Bahama dan Abacos.
Lebih 13,000 kediaman dilaporkan musnah atau rosak teruk di Grand Bahama dan Abacos.
A
A
A

NASSAU - Jumlah kematian akibat Taufan Dorian di Bahamas telah meningkat kepada sekurang-kurangnya 43 orang dan ia turut meninggalkan kesan kemusnahan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Rangkaian media memaklumkan angka itu dijangka meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang giat dijalankan.

“Ratusan atau mungkin ribuan orang masih hilang. Jumlah sebenar angka korban pasti memeranjatkan,” kata Erica Wells Cox yang merupakan jurucakap Perdana Menteri, Hubert Minnis.

Dorian yang membawa angin kencang sehingga 297 kilometer sejam ditakrifkan sebagai Ribut Kategori Lima ketika ia membadai utara Bahamas pada minggu lalu dan turut meninggalkan kesan kemusnahan yang besar.

Menurut pegawai bantuan PBB, kira-kira 70,000 atau hampir seluruh populasi penduduk di Pulau Grand Bahama dan Abaco memerlukan bantuan segera.

Ribuan penduduk yang hilang tempat tinggal turut menyuarakan kekecewaan kerana kelewatan usaha pemindahan dan penyaluran bantuan.

“Tiada air, tiada makanan. Rancangan saya adalah untuk tinggalkan bandar ini dan cari tempat tinggal lain,” kata James Whell di Marsh Harbour yang merupakan bandar terbesar di Abaco dan paling teruk terjejas yang mempunyai populasi penduduk lebih 15,000.

Persatuan Palang Merah Antarabangsa (IRC) memaklumkan kira-kira 13,269 kediaman dilaporkan musnah atau rosak teruk di Grand Bahama dan Abacos.

Artikel Berkaitan:

CBS News turut memaparkan penduduk terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bekalan makanan dan air bersih di Grand Bahama.

Ketika ini, Pengawal Pantai Amerika Syarikat dan agensi swasta terlibat dalam usaha pemindahan ratusan penduduk Abaco dan pulau lain ke Nassau yang terletak di bahagian selatan dan terlindung daripada hurikan dahsyat tersebut.

Selain itu, usaha bantuan multinasional termasuk Tentera Diraja Britain dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga berdepan halangan berikutan lapangan terbang tunggal di Grand Bahama ditenggelami banjir, dermaga dan dok musnah dibadai ribut serta talian komunikasi terputus sejak awal minggu lalu. - AFP