Forex: 85 warga China ditangkap

Antara warga China yang ditahan dalam operasi di Taman Desa Kuala Lumpur semalam.
Antara warga China yang ditahan dalam operasi di Taman Desa Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan kegiatan sindiket penipuan pelaburan pertukaran mata wang asing atau forex dengan tertangkapnya 85 warga China di premis terletak di Jalan Desa Bahagia, Taman Desa di sini semalam.

Tangkapan membabitkan 71 lelaki dan 14 wanita berusia lingkungan 19 hingga 32 tahun itu dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kira-kira jam 9 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, pelbagai barang disyaki diguna untuk kegiatan itu dirampas antaranya 258 unit telefon bimbit dan 122 buah komputer riba.

"Dalam operasi itu, didapati sekumpulan lelaki dan perempuan sedang berkumpul mengendalikan komputer dan telefon bimbit di atas meja mereka.

"Pemeriksaan ke atas premis dan individu terbabit mengesyaki premis tersebut sedang menjalankan aktiviti penipuan atas talian di negara China," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Premis di tingkat 20 di Taman Desa Kuala Lumpur yang diserbu polis semalam.
Premis di tingkat 20 di Taman Desa Kuala Lumpur yang diserbu polis semalam.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Brickfields untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati premis di tingkat 20 itu telah beroperasi sejak sebulan lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka direman 14 hari untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen," katanya.