Wanita warga emas suspek utama skim penipuan pelaburan diberkas

Noorsiah
Noorsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga emas disyaki suspek utama kegiatan penipuan skim pelaburan perbankan telah ditahan pada Khamis lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya telah menerima dua laporan berkaitan kes penipuan skim pelaburan terbabit.

"Berdasarkan siasatan, skim pelaburan terbabit mula beroperasi sejak awal tahun ini dan menawarkan pulangan sebanyak 30 hingga 70 peratus dari modal pelaburan yang dikeluarkan.

"Skim pelaburan ini turut menawarkan slot-slot saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh 72 jam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Noorsiah berkata, setelah mangsa membuat pindahan wang, keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar

"Suspek berusia 60 tahun itu telah ditahan reman selama lima hari bermula Jumaat hingga esok (Selasa) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek juga mempunyai rekod lampau berkait dua kes penipuan pelaburan berkaitan penjualan minyak diesel.

"Orang ramai yang mungkin menjadi mangsa skim pelaburan ini, diminta tampil segera membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan sentiasa membuat semakan secara terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti portal semak mule, alert list Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan," katanya.