Gaji pekerja dibayar seperti biasa

Mohd Rafiq meluangkan masa melawat 11 pekerja yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Mohd Rafiq meluangkan masa melawat 11 pekerja yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Nasib lebih 800 pekerja kilang pemprosesan ayam yang dicemari gas ammonia mendapat pembelaan apabila syarikat berkenaan bersetuju untuk membuat bayaran gaji seperti biasa.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, pekerja tidak perlu bimbang walaupun operasi kilang itu dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menyahcemar gas berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) juga telah mengadakan pertemuan dengan pengarah syarikat berkenaan dan mereka turut mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada pekerja yang mendapatkan rawatan di hospital.

"Apabila kilang berkenaan dihentikan operasi sementara waktu sudah pasti dalam tempoh itu timbul kerisauan dalam kalangan pekerja mengenai pendapatan mereka.

"Kita telah pun membuat perbincangan termasuk bersama wakil syarikat dan mereka akan membayar gaji pekerja walaupun operasi kilang dihentikan sementara waktu," katanya hari ini.

Mohd Rafiq berkata demikian selepas melawat mangsa yang menerima rawatan di Hospital Melaka akibat terhidu gas ammonia yang bocor di kilang pemprosesan ayam di Serkam, Jasin semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga akan menyalurkan sumbangan kepada pekerja beragama Islam yang terjejas selain bantuan bencana yang akan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, sejak insiden itu berlaku, seramai 31 pekerja telah mendapatkan rawatan di hospital dan daripada jumlah itu, 25 mangsa sudah dibenarkan pulang manakala 11 lagi termasuk tiga pekerja warga asing masih dirawat dan dilaporkan stabil.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri akan terus menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian sekali gus memastikan keadaan di kawasan berkenaan selamat sepenuhnya hingga mencapai bacaan di bawah 25 ppm (bahagian setiap juta).

"JKKP juga akan menjalankan siasatan sama ada kilang berkenaan mematuhi langkah keselamatan yang digariskan atau sebaliknya dan forensik JKKP Putrajaya turut membantu bagi menjalankan siasatan secara terperinci," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan sebuah kilang pemprosesan ayam di Serkam Jasin dicemari gas ammonia apabila salah satu paip yang menyalurkan gas itu bagi tujuan proses penyejukbekuan mengalami kebocoran.

ARTIKEL BERKAITAN: 26 pekerja kilang sesak nafas, gas ammonia bocor