33,771 calon duduki UPSR di Perak

Murid SK Jalan Pegoh bersalaman dengan Abd Aziz sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menjawab kertas Bahasa Melayu.
Murid SK Jalan Pegoh bersalaman dengan Abd Aziz sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi menjawab kertas Bahasa Melayu.
A
A
A

IPOH - Seramai 33,771 calon UPSR dari 872 pusat peperiksaan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di seluruh Perak hari ini.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata, tujuh calon menduduki peperiksaan itu di enam hospital di negeri ini.

"Dua calon termasuk seorang dari Sekolah Kebangsaan Tanah Rata, Cameron Highland, Pahang mengambil peperiksaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini manakala, lima yang lain di Hospital Tapah, Hospital Pakar KPJ Seri Manjung, Hospital Kuala Kangsar, Hospital Teluk Intan dan Hospital Gerik.

"Daripada jumlah itu, 23,219 calon dari Sekolah kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (7,595), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (2,039) dan 933 merupakan calon dari sekolah swasta," katanya ketika melawat calon UPSR di Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh, Pengkalan di sini.

Hadir sama, Pegawai Meja UPSR/UOL, Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Perak, Rohaizad Abdullah Fisol dan Guru Besar SK Jalan Pegoh, Rustam Affandy Abd Aziz.

Menurutnya, seramai 284 calon pedalaman dijalankan di 11 pusat peperiksaan manakala 110 pula merupakan calon berkeperluan khas.

"Seramai 4,355 petugas merupakan penyelia kawasan, ketua pengawas, timbalan ketua pengawas, pengawas dan pengemas bilik akan mengendalikan peperiksaan bermula hari ini hingga 12 September ini," katanya.

Pada masa sama, Abdul Aziz berkata, keadaan jerebu memuaskan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa daerah seperti Manjung, Taiping dan Ipoh mencatatkan bawah 100.

Artikel Berkaitan:

"Peperiksaan dijangka berjalan lancar seperti yang dijadualkan bagi empat kertas peperiksaan ini," katanya.