X

Kindly register in order to view this article
!

Tanpa kita sedari makanan seperti sekeping roti canai boleh menjadi ejen penyatuan bangsa apabila pelbagai kaum mengunjungi premis yang sama untuk menikmati makan tersebut.
A
A

KALAU difikirkan sekali imbas mungkin ramai yang bertanya apa ada dengan sebungkus nasi lemak, sekeping roti canai atau sepinggan nasi ayam Hainan?

Hakikatnya tanpa kita sedari makanan telah banyak memainkan peranan dalam kehidupan sosial kita di Malaysia. Makanan boleh menyatukan orang untuk pelbagai acara seperti perayaan, percutian atau sekadar sesi berlepak di kedai mamak.

Jadi tidak hairanlah, daripada sebuah kedai makan ia boleh menyemarakkan elemen perpaduan. Daripada sekeping roti canai, ia menggamit semua bangsa menikmati rasa yang sama.

Misalnya, Restoran Mars Baru yang terletak di pekan Klang dimiliki oleh Syed Mohamed Samsudeen, 77, mampu menjual kira-kira 400 keping roti canai sehari kerana mendapat permintaan ramai pelanggan pelbagai bangsa.

Menurut warga emas itu, bukan soal untung yang mahu diceritakan tetapi nilai roti canai yang dijualnya itu sendiri mempunyai maksud tersirat.

“Bayangkan sebanyak 400 keping roti canai terjual sehari. Siapa yang membelinya? Di kedai saya inilah pelanggan daripada pelbagai kaum tidak kira Melayu, Jawa, India dan Cina datang membeli dan makan roti canai sejak saya berniaga 53 tahun lalu.

“Saya rasa bangga sebab makanan saya jual dinikmati oleh pelbagai kaum. Mereka boleh menikmati makanan ini dengan aman makmur di kedai saya. Syukur,” katanya.

Amiruddin, Syed Mohamed Samsudeen dan Saravanan
Amiruddin, Syed Mohamed Samsudeen dan Saravanan

Umum tahu roti canai antara menu kegemaran di Malaysia yang dimakan pada bila-bila masa sama ada dicicah kuah kari kambing, kuah dal atau parpu serta sambal ikan bilis.

Perkembangan roti canai yang gemar diambil sebagai juadah sarapan pagi bersama teh tarik itu tercetus selepas kebanjiran orang India di Malaysia.

Menceritakan mengenai kedainya, Syed Mohamed berkata, sebelum ini premis berusia 100 tahun tersebut ialah sebuah kedai kopitiam milik orang Cina.

“Saya syukur kerana dapat berniaga dalam sebuah negara yang aman makmur seperti Malaysia. Selama menjalankan perniagaan ini, bukan sekali dua saya melihat pelanggan berbilang kaum duduk semeja dan berbual mesra sambil menikmati roti canai.

“Itulah erti kebebasan sebenar apabila rakyat tanpa mengira bangsa dapat duduk semeja sambil menikmati makanan dengan penuh rasa nikmat,” katanya.

Antara menu lain dijual di kedai makan itu ialah rojak, mi goreng, sup, martabak, nasi kandar dan nasi beriani.

Kemesraan remaja Cina ketika menikmati makanan di sebuah kedai mamak di Shah Alam menunjukkan rakyat pelbagai kaum di negara ini bergaul bebas secara aman makmur.
Kemesraan remaja Cina ketika menikmati makanan di sebuah kedai mamak di Shah Alam menunjukkan rakyat pelbagai kaum di negara ini bergaul bebas secara aman makmur.

Bagi seorang pelanggan, Amiruddin Kamaruddin, 61, dia sememangnya menggemari roti canai di kedai Syed Mohamed sejak 35 tahun lalu.

Pesara swasta itu tidak menafikan roti canai lazat dijual di kedai berkenaan dinikmati oleh bukan sekadar pelanggan India tetapi ramai orang Melayu dan Cina memang menyukainya.

Bagi S Saravanan, 42, pula, dia sudah menjadi pelanggan di kedai berkenaan sejak 30 tahun lalu dan kerap melihat pelanggan berbilang bangsa datang menjamu selera. “Saya sudah biasa lihat orang India, Melayu dan Cina duduk semeja makan bersama-sama sambil berbual mesra,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus