'Udin jual nasi lemak nak cari sendiri duit'

Ahmad Alauddin berniaga nasi lemak seawal jam 6.45 pagi setiap hari bagi mencari pendapatan sendiri di sini. Foto: Ihsan Ahmad Alauddin
Ahmad Alauddin berniaga nasi lemak seawal jam 6.45 pagi setiap hari bagi mencari pendapatan sendiri di sini. Foto: Ihsan Ahmad Alauddin
A
A
A

PADANG RENGAS - Kegigihan seorang remaja yang menghidap penyakit jantung berlubang di sini menjual nasi lemak amat memberikan inspirasi di sebalik kekangan kesihatan dialami.

Ahmad Awaluddin Idris, 18, berkata, niatnya berniaga cuma ingin mencari sumber kewangan sendiri kerana ibu bapanya sudah meninggal dunia dan menumpang di rumah ibu saudaranya di Kampung Paya Panjang, di sini.

Menurutnya, dengan sokongan kuat dan resipi ibu saudaranya, Surani Ariffin, 56, dan bantuan daripada kakak serta abang sepupunya membuatkan hasrat berniaga nasi lemak terlaksana malah mendapat permintaan luar biasa.

"Alhamdulillah dah nak masuk tiga minggu orang tak putus-putus datang. Mula-mula saya masak 50 bungkus sehari sehingga sekarang 200 bungkus sehari. Tapi itu saja yang saya mampu buat sebab keadaan kesihatan tak mengizinkan.

Ahmad Alauddin (kiri) berniaga
nasi lemak seawal jam 6.45 pagi setiap hari bagi mencari pendapatan sendiri di sini. Foto: Ihsan Ahmad Alauddin
Ahmad Alauddin (kiri) berniaga nasi lemak seawal jam 6.45 pagi setiap hari bagi mencari pendapatan sendiri di sini. Foto: Ihsan Ahmad Alauddin

"Saya memang nak kerja, cari duit sendiri tapi tak mampu buat kerja berat. Jadi saya buat keputusan meniaga sendiri dengan bantuan dan sokongan ibu saudara dan sepupu.

"Mereka sangat membantu dan beri sokongan moral serta modal berniaga," katanya yang merupakan anak yatim piatu sejak berusia 10 tahun kepada Sinar Harian.

Jelasnya, ketika bersekolah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan bantuan bulanan namun setelah berusia 18 tahun, pemberian itu telah ditamatkan.

Ahmad Awaluddin yang bercita-cita menjadi cef berkata, rutin hariannya, seawal jam 3 pagi akan bangun memasak nasi lemak dan membungkus dengan bantuan kakak sepupunya sebelum keluar berniaga pada jam 6.45 pagi berjalan kaki kira-kira 100 meter ke tempat meniaga.

Sewal jam 3 pagi, Ahmad Alauddin akan memasak dan membungkus nasi lemak jualannya di sini.
Sewal jam 3 pagi, Ahmad Alauddin akan memasak dan membungkus nasi lemak jualannya di sini.

Sementara itu, Surani yang mesra disapa Mak Yang menjelaskan tidak mempunyai niat menularkan kisah anak saudaranya itu untuk meraih simpati orang ramai sebaliknya mahu orang tempatan mengetahui tentang perniagaan diusahakan Ahmad Alauddin.

"Tak sangka boleh tular sampai seluruh negara. Mak Yang cuma letak di Facebook untuk orang tahu Udin (Ahmad Alauddin) jual nasi lemak. Tapi Alhamdulillah, rakyat Malaysia semua baik-baik dan sayangkan Udin.

"Udin dah macam anak sendiri sebab Mak Yang jaga dia dari kecil. Dia anak yang sangat baik dan tak suka menyusahkan sesiapa. Apa rezeki yang ada kami kongsi bersama," katanya yang juga ibu tunggal.

Katanya, setiap dua bulan sekali Ahmad Alauddin akan menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Pulau Pinang bagi penyakit jantung berlubang serta saluran pernafasan bocor dan terbalik.

Menurut Surani, anak saudaranya itu dicadangkan untuk menjalani pembedahan di India dengan kos kira-kira RM80,000 namun kekangan kewangan ia tidak dapat disempurnakan dan hanya mengawal pemakanan bagi memastikan keadaan kesihatan kekal baik.

Bagaimanapun dia tetap tidak berputus asa dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang sudi membantu Ahmad Alauddin serta keluarganya dengan menghubungi di talian 011-62261899.