'Boikot produk berdasarkan bangsa, agama perbuatan tidak sihat'
KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar kempen anjuran pihak tertentu yang menyeru pemboikotan produk berdasarkan kaum dan agama, dengan menyifatkan perbuatan itu sebagai ‘tidak sihat’.
Beliau berkata, kempen untuk mempromosikan produk halal boleh diterima tetapi dengan menggunakan isu perbalahan kaum adalah tidak sihat dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.
"Sebagai seorang Muslim, saya fikir penting bagi kita untuk mempromosikan produk yang sangat baik. Terdapat produk yang diperlukan oleh Muslim yang memang dibuat oleh orang Cina.
ARTIKEL BERKAITAN: Boikot produk tindakan cetek: Tun M
Penggunaan konotasi perkauman (dalam kempen boikot) tidak sihat dalam masyarakat berbilang kaum dan dunia pluralistik," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Majlis Antarabangsa Kerjasama Sejarah dan Kebudayaan-Asia Tenggara (ICHCC-SEA) Persidangan Antarabangsa mengenai Sejarah dan Kebudayaan di sini hari ini.
Persidangan dua hari yang bermula hari ini, bertujuan menyediakan platform untuk pertukaran budaya dan pendidikan.
Kini terdapat kempen yang berterusan di media sosial oleh pihak tertentu yang menghasut orang ramai supaya memboikot produk bukan Islam.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan memboikot produk bukan Islam adalah tindakan mereka yang cetek fikiran dan gerakan seperti itu tidak akan mendatangkan kesan yang besar, malahan ia akan mengundang api kemarahan sahaja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!