Saman sivil selepas didakwa

A
A

BARU-BARU ini saya didatangi oleh seorang klien yang bertanyakan sama ada beliau boleh membuat sebarang tuntutan sivil terhadap pihak ketiga yang telah membuat laporan polis terhadap beliau sehingga menyebabkan beliau disiasat dan didakwa di mahkamah, namun beliau kemudian dibuktikan tidak bersalah oleh mahkamah.

Akibat daripada pendakwaan tersebut, beliau mengalami banyak kerugian termasuk turut diisytiharkan muflis.

Dalam pendakwaan kes jenayah, mungkin ramai yang kurang tahu bahawa dalam situasi tertentu seseorang itu (biasanya mangsa) turut boleh mengambil tindakan sivil terhadap pihak ketiga (biasanya tertuduh) setelah kes pendakwaan jenayah diputuskan oleh mahkamah.

Sebagai contoh, dalam kes kemalangan jalan raya, pemandu yang cuai boleh didakwa dan dalam masa sama turut boleh di saman oleh mangsa bagi menuntut ganti rugi yang dialaminya akibat kemalangan tersebut.

Satu lagi contoh terbaik ialah kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Ketika kes pendakwaan itu masih berlangsung, keluarga Altantuya memfailkan saman sivil pada 2007 bagi menuntut ganti rugi bernilai RM100 juta dengan menamakan dua bekas anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman itu.

Keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang teruk lantas merasakan mereka layak untuk menuntut pampasan serta ganti rugi teladan daripada defendan-defendan.Dalam kes pembunuhan tersebut, Abdul Razak didakwa kerana berkonspirasi dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh Altantuya tetapi beliau telah dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri pada Oktober 2008, manakala Azilah dan Sirul Azhar telah didapati bersalah pada 13 Januari 2015 oleh Mahkamah Persekutuan dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Walaupun begitu, perlu difahami bahawa mengambil tindakan sivil yang berpunca daripada pendakwaan kes jenayah sebelumnya adalah tidak semudah yang disangka. Banyak aspek yang perlu diteliti dan dinilai.

Dalam keadaan tertentu, penghakiman atau perintah yang diputuskan oleh mahkamah jenayah tidak boleh digunakan untuk tujuan saman sivil. Inilah yang berlaku dalam kes saman keluarga Altantuya.

Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa penghakiman dan keputusan daripada kes pembunuhan Altantuya tidak boleh digunakan dalam kes saman sivil terhadap kerajaan Malaysia.

Pihak keluarga Altantuya berkemungkinan perlu membuktikan semula elemen pembunuhan Altantuya di mahkamah sivil kerana mahkamah terikat dengan Seksyen 43 Akta Keterangan yang menyekat mahkamah sivil daripada bergantung kepada penghakiman dalam kes pembunuhan tersebut kerana penghakiman dalam kes pembunuhan tersebut tidak berkaitan atau relevan terhadap kerajaan Malaysia.

Namun, melihatkan kepada beberapa aspek lain, penghakiman kes jenayah masih boleh digunakan dalam tuntutan sivil sebagai fakta persoalan kes (fact in issue).

Oleh itu, berbalik kepada situasi klien saya sebentar tadi, penghakiman ketika beliau didakwa di mahkamah jenayah sebelum ini berkemungkinan boleh digunakan dalam kes saman sivil beliau terhadap pihak ketiga, asalkan pihak ketiga adalah pihak yang terlibat secara langsung dengan penghakiman kes jenayah sebelum ini.

Tetapi, masih banyak aspek lain yang turut perlu dipertimbangkan sebelum sebarang tuntutan ganti rugi boleh dilakukan dan diputuskan oleh mahkamah sivil.Umumnya, kes pendakwaan jenayah tidak menghalang mangsa untuk turut mengambil tindakan saman sivil terhadap tertuduh dalam menuntut ganti rugi yang dialami akibat jenayah atau kesalahan yang telah dilakukan.

Dalam erti kata lain, jika A telah melanggar B sehingga menyebabkan kematian B, keluarga B berhak untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap A untuk menuntut ganti rugi yang dialami, apatah lagi jika B merupakan pencari nafkah utama keluarganya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.