RM100j atasi masalah bekalan air terawat Genting Highlands

Wan Rosdy menandatangani plak perasmian Swiss Garden Hotel & Residences Genting Highlands.
Wan Rosdy menandatangani plak perasmian Swiss Garden Hotel & Residences Genting Highlands.
A
A
A

BENTONG - Sebanyak RM100 juta akan dilaburkan dalam mengatasi masalah kekurangan bekalan air terawat di pusat peranginan Genting Highlands.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaburan itu menerusi sebuah syarikat iaitu IBN Corporation Private Limited yang berhasrat membina loji air terawat bagi kegunaan pelbagai pusat komersial dan pembangunan di kawasan tanah tinggi tersebut.

Menurutnya, jika masalah berkenaan tidak diatasi dalam tempoh 10 tahun ini, ia akan mengundang keadaan lebih kritikal di lokasi terbabit.

Wan Rosdy (empat dari kanan) bersama barisan tetamu kehormat semasa majlis perasmian Swiss Garden Hotel & Residences Genting Highlands hari ini.
Wan Rosdy (empat dari kanan) bersama barisan tetamu kehormat semasa majlis perasmian Swiss Garden Hotel & Residences Genting Highlands hari ini.

"Buat masa sekarang pembekal tidak dapat memenuhi keperluan semasa iaitu 28.2 juta liter air sehari.

"Dengan IBN sebagai penyedia air terawat nanti, kita yakin ia dapat memenuhi keperluan semasa sekali gus dapat meleraikan keresahan dalam kalangan pelabur di sini mengenai pembekalan air terawat, lancar dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Swiss Garden Hotel & Residences Genting Highlands, Windmill Upon Hills milik Kumpulan OSK di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Kumpulan OSK, Datuk Saiful Bahri Zainuddin; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ishak Muhamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy (tiga dari kanan) menyaksikan persembahan tarian naga sempena perasmian Swiss Garden Hotel & Residences Genting Highlands hari ini.
Wan Rosdy (tiga dari kanan) menyaksikan persembahan tarian naga sempena perasmian Swiss Garden Hotel & Residences Genting Highlands hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar 'pintu terbuka' termasuk dalam meraikan kedatangan dan kemasukan pelabur ke negeri ini.

"Sungguhpun begitu saya sentiasa tekankan bahawa keterbukaan kerajaan negeri ini ialah selagi pelaburan berkenaan selain menguntungkan pelabur akan memberi manfaat kepada negeri dan rakyatnya.

"Pelaburan oleh konglomerat terkemuka seperti Kumpulan OSK juga sudah pasti menunjukkan mereka menaruh kepercayaan tinggi terhadap negeri ini," katanya.

Hotel 40 tingkat dengan 561 bilik itu adalah hotel ke-11 di bawah rangkaian Swiss Garden International Hotels, Resorts, Inns milik kumpulan tersebut di seluruh negara.