Subsidi petrol bersasar tunggu 'lampu hijau' Kabinet

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan subsidi petrol bersasar yang dijanjikan kepada golongan kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kini hanya menunggu 'lampu hijau' daripada Kabinet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas cadangan pelaksanaan itu kini sudah siap dan hanya perlu dibentangkan kepada Kabinet sebelum ia dilaksanakan.

"Ia berjalan mengikut jadual, saya tinggal hendak bentangkan kepada jemaah menteri sahaja. Kertasnya pun kita sempurnakan dalam tempoh terdekat. Apabila kita bentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri saya akan susuli dengan pengumuman," katanya pada sidang media selepas majlis penutup Karnival I-Keep di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau akan membentangkannya dalam masa terdekat jika tiada sebarang kerenah birokrasi timbul.

"Secepat mungkin saya akan bentangkan, kita kena tunggu giliran. Kertas jemaah menteri kita telah hantar kepada Kabinet, kita kena tunggu. Saya rasa saya punya dah siap mungkin ada kementerian lain ada lagi, jadi kita kena tunggu giliran," katanya.

Pada Bajet 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada November tahun lalu menyatakan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Menerusi mekanisme subsidi itu, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter dan 40 liter bagi motosikal.

Artikel Berkaitan: