Terpaksa tidur tepi tayar lori

Pada mulanya Fook Ping tidur di tepi tayar ini sehingga jam 10 malam semalam sebelum diberikan khemah sementara untuk mangsa kebakaran.
Pada mulanya Fook Ping tidur di tepi tayar ini sehingga jam 10 malam semalam sebelum diberikan khemah sementara untuk mangsa kebakaran.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara berusia 80 tahun terpaksa tidur di tepi tayar lori hiasan di hadapan sekolah di sini, selepas rumah pusaka tinggalan datuknya terbakar ketika kejadian di Kampung Sungai Lembing awal pagi semalam.

Leong Fook Ping yang tinggal sebatang kara berkata, dia tiada saudara mara dan terpaksa tidur tepi tayar lori yang dijadikan hiasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Lembing sehingga jam 10 malam semalam.

"Nasib baik ada pengawal keselamatan kejutkan saya dan bawa saya tidur dalam khemah di Dewan SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) Lembing. Saya tidur sini seorang saja sebab orang lain tidur rumah saudara mara.

"Saya sangat sedih sebab rumah pusaka itu tempat tinggal tiga generasi keluarga saya. Ketika kebakaran saya sedang tidur dan dengar orang jerit, api! Api! Lari! Lari! Saya terus lari keluar dan tak sempat selamatkan apa-apa, duit tunai RM5,000 yang saya simpan pun terbakar," katanya kepada Sinar Harian.

Fook Ping menunjukkan khemah tempatnya berteduh yang terletak di Dewan SJKC Lembing
Fook Ping menunjukkan khemah tempatnya berteduh yang terletak di Dewan SJKC Lembing

Dia berkata, pakaian yang digunakannya juga hanya mengharapkan ihsan orang ramai.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, dilaporkan 32 keluarga terlibat membabitkan 32 premis dan sebuah perpustakaan awam musnah terbakar.

Peniaga kedai kopi, Chua Chan Mun, 48, dan anaknya, Sharon Chua, 20, bersedih dengan kejadian itu dan hanya mampu memungut periuk dan perkakas kedai makan mereka yang masih elok.

Artikel Berkaitan:

Menurut Chan Mun, ketika kejadian dia, isteri dan tiga anak berusia 18 hingga 23 tahun sedang tidur dan tiba-tiba terdengar jeritan penduduk kampung.

Menurutnya, sebaik terjaga dia melihat api marak lalu terus mengejutkan anak-anak serta isteri untuk menyelamatkan diri.

Chan Mun mengumpulkan periuk yang digunakan beliau untuk berniaga.
Chan Mun mengumpulkan periuk yang digunakan beliau untuk berniaga.

"Kejadian berlaku sangat pantas. Buka saja pintu nampak api besar bakar rumah jiran depan.

"Barangan berharga semua tak dapat diselamatkan. Terutama barang kolej anak-anak, barangan dan perabot antik serta wang tunai hasil perniagaan," katanya.

Anak salah seorang mangsa, Wong Kah Zheng, 20, pula berkongsi detik cemasnya apabila dimaklumkan rumah didiami ibu bapanya terlibat dalam kebakaran.

"Kawan saya (Sharon) telefon beritahu rumah terbakar. Saya cuma fikirkan emak dan sangat risau sebab saya sedang kerja di Kuantan.

"Mujurlah jiran-jiran tolong mak saya dan selamatkan barangan seperti pakaian dan dokumen penting," katanya.