Wang RM5,000 hangus, rumah kongsi warga asing terbakar

Kebakaran membabitkan rumah kongsi dan stor berdekatan Taman Bertam Impian pada Isnin.
Kebakaran membabitkan rumah kongsi dan stor berdekatan Taman Bertam Impian pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Lapan pintu rumah kongsi didiami pekerja warga asing di tapak pembinaan perumahan berdekatan Taman Bertam Impian di sini hangus dalam kebakaran pada petang Isnin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, seramai 100 buruh binaan warga Bangladesh dan Indonesia terselamat.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, PBK ll Mohamed Azuani Mat Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.14 petang berhubung kebakaran membabitkan rumah kongsi berstrukturkan papan itu.

Mohamed Azuani
Mohamed Azuani

"Seramai 14 anggota daripada BBP Tangga Batu, Cheng dan Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

"Selain rumah kongsi, turut terbakar stor menyimpan kabel dan petrol yang berada di tapak itu," katanya ketika ditemui di sini, pada Isnin.

Jelasnya, pasukan bomba turut berdepan cabaran pemadaman kerana sumber air yang terhad memandangkan tapak pembinaan baharu 30 peratus siap sebelum api berjaya dikawal sepenuhnya jam 7.31 malam.

Sementara itu, sepasang suami isteri warga Indonesia sedih apabila wang simpanan mereka berdua dianggarkan berjumlah RM5,000 hangus terbakar.

Herman, 46, berkata, wang berkenaan hasil simpanan dia dan isterinya sejak beberapa bulan lalu untuk menyara anak tunggal mereka di kampung yang masih bersekolah asrama.

"Apa pun kami suami isteri reda, walaupun mengalami kerugian namun bersyukur kami berdua selamat," katanya.