Tokoh Maal Hijrah Pahang gesa pucuk pimpinan amal politik matang

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang kepada Muhammad pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang kepada Muhammad pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang 2019 menggesa pucuk kepimpinan supaya mengamalkan politik matang agar masyarakat di negara ini tidak hidup dalam keadaan berpecah belah.

Datuk Muhammad Abdullah, 77, yang pernah menjawat Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari 1999 hingga 2004 berkata, beliau mengharapkan agar ahli politik tidak hanya mementingkan diri demi meraih sokongan semata-mata.

"Sekarang ini banyak tekanan kepada umat Islam sehingga kita seperti berpecah kerana berbeza pendapat mengenai politik.

"Janganlah mengamalkan politik yang mampu memecahbelahkan masyarakat dan menghina serta mencabar mana-mana agama. Seharusnya, mereka mengamalkan politik ke arah kebaikan supaya umat Islam serta kaum lain tiada masalah untuk hidup bersatu padu di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Maran itu juga bersedia berkongsi pengalamannya dalam bidang politik terutama dengan generasi muda.

"Saya boleh berkongsi pengalaman saya, termasuk dengan cara memberi ceramah secara santai," katanya.

Muhammad menerima anugerah itu disampaikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang melayakkan beliau menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.

Artikel Berkaitan:

Anak jati Kampung Pesagi, Chenor itu adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya dalam bidang Antropologi/Sosiologi dan turut pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri pada 1985.

Turut menerima anugerah pada majlis itu ialah Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Mahyuddin Ismail yang menerima Anugerah Inovasi Kakitangan (Kerajaan, Swasta, Badan Bukan Kerajaan, Badan Berkanun dan Institusi Pengajian Tinggi).