Nahas di Elite berpunca pelanggaran dua kenderaan: Polis

Gambar yang dimuatnaik menerusi Facebook Mohamed Azmin menunjukkan Yang di-Pertuan Agong membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya Elite semalam.
Gambar yang dimuatnaik menerusi Facebook Mohamed Azmin menunjukkan Yang di-Pertuan Agong membantu mangsa kemalangan di Lebuhraya Elite semalam.
A
A
A

SUBANG - Kejadian kemalangan di KM5.5 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah Shah Alam - KLIA semalam yang tular menerusi laman sosial dipercayai berpunca daripada pelanggaran antara dua buah kenderaan.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, dalam kejadian di lorong tengah lebuh raya itu, seorang wanita telah melanggar sebuah kenderaan lain jenis Honda Accord yang berada di hadapannya.

Menurutnya, perlanggaran itu menyebabkan wanita berkenaan telah hilang kawalan dan kenderaan dipandunya terbalik.

"Kenderaan mangsa jenis Honda City itu rosak di bahagian pintu depan, belakang sebelah kanan, cermin depan, lampu depan, cermin sisi kanan dan kiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Risikin berkata, mangsa berkenaan mengalami luka di tangan kanan dan lebam di lutut kiri susulan daripada kejadian itu.

No Image Caption

"Dia juga turut dihantar ke Hospital Putrajaya bagi menerima rawatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Agong kita sangat prihatin

Artikel Berkaitan:

Kejadian kemalangan yang berlaku pada jam 6.20 petang itu tular di media sosial apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memuat naik beberapa keping gambar menunjukkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bagi membantu mangsa terlibat ketika berangkat pulang daripada Program Anak Anak Malaysia Walk 2019 di Setia Alam.

Menerusi kemas kini status di laman Facebook rasmi beliau, Mohamed Azmin turut memaklumkan Yang di-Pertuan Agong turut bertitah agar polis pengiring segera memberi bantuan dan menghantar mangsa ke hospital.