Situasi buruk TH sudah berakhir

Zukri Samat
Zukri Samat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi buruk yang dihadapi Lembaga Tabung Haji (TH) sudah berakhir apabila pelan pemulihan untuk menstabilkannya mula membuahkan hasil.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat yang bakal bersara berkata, pengurusan baharu berjaya mengurangkan risiko berterusan dana tersebut dan memulihkan semula lembaran imbangannya.

"Keadaan yang buruk sudah berakhir. Tabung Haji kini telah melangkah kehadapan. Kami telah melupuskan aset-aset yang tidak mendatangkan keuntungan dan sebagainya.

"Saya memaklumkan kepada Pejabat Perdana Menteri sudah sampai masanya untuk saya berundur. Lebihan mengatasi liabiliti TH berjumlah lebih daripada RM1 bilion.

"Saya mewujudkan satu akaun rizab. Semasa keadaan operasi yang baik, anda tidak mengagihkan semua keuntungan anda. Anda simpan sebahagian dalam rizab. TH tidak ada rizab sebelum ini tetapi sekarang ia berjumlah kira-kira RM400 juta," katanya baru-baru ini.

Zukri yang dilantik untuk menerajui pelan pemulihan TH pada Julai tahun lalu akan menamatkan perkhidmatannya lebih awal berikutan faktor kesihatan dan akan digantikan Nik Mohd Hasyudeen Yusoff pada 1 September ini.

TH adalah pemegang saham terbesar BIMB Holdings Bhd dengan 53.47 peratus pegangan.

Dana haji itu mencatatkan prestasi kewangan kukuh apabila merekodkan hasil sebanyak RM1.3 bilion dalam separuh pertama 2019 disokong oleh strategi pelaburan mampan dan langkah pengurusan kos berhemat.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak sangka keadaan TH adalah seburuk itu. Semasa saya menyertainya, kami meneliti masalah tersebut dan keseluruhan situasi adalah lebih buruk daripada yang dijangka.

"Orang bercakap tentang pelaburan merugikan dalam TH Engineering dan sebagainya. Ini adalah maklumat yang orang ramai tahu.

"Tetapi realitinya, banyak lagi yang lebih teruk. Apa yang lebih mengejutkan adalah pada dasarnya pendedahan oleh laporan PwC ditauliahkan TH semasa kepimpinan baharu menyertai lembaga,” katanya.

Zukri merujuk kepada laporan PricewaterhouseCoopers (PwC) yang mendedahkan TH gagal mengiktiraf kerugian rosot nilai pelaburan berjumlah RM549 juta dalam beberapa syarikat sekutu dan anak syarikat.

Laporan itu dibuat selepas Laporan Ketua Audit Negara 2017 mendedahkan TH gagal merekodkan rosot nilai aset berjumlah RM227.81 juta daripada pelaburannya dalam tiga anak syarikat dan tiga syarikat sekutu termasuk pelaburan RM164.58 juta dalam TH Heavy Engineering Bhd.

"Semasa kami melihat semua laporan daripada PwC, lembaga merasakan kami perlu meneliti perkara ini dan semasa kami menyertai lembaga, walaupun akaun bagi 2017 sudah selesai tapi ia belum lagi ditandatangani.

"Lembaga merasakan kami tidak boleh menandatangani akaun menekankan perkara yang disebut Ketua Audit Negara. Atas alasan itu, kami melantik PwC untuk menyemak semula semuanya sekali lagi," kata Zukri.

Tekanan kewangan yang dihadapi TH diburukkan lagi kelemahan pasaran saham pada 2018 yang membawa kepada defisit lebih besar sebanyak RM10 bilion pada 31 Disember 2018 daripada RM4.1 bilion pada tahun sebelumnya serta pelaksanaan dasar perakaunan baharu dalam tahun sama.

"Mengikut dasar perakaunan baharu itu, peruntukan tertentu perlu dibuat dalam beberapa pelaburan. Disebabkan itu kami kekurangan sebanyak RM10 bilion," katanya.

Pada Disember tahun lalu, TH berkata Kementerian Kewangan menerusi syarikat tujuan khasnya Urusharta Jamaah Sdn Bhd membeli hartanah dan ekuiti yang tidak mencatatkan prestasi sebagai pertukaran bagi sukuk bernilai RM10 bilion dan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus Islam bernilai RM9.9 bilion.

TH memindahkan aset-aset tidak mencatatkan prestasi bernilai RM19.9 bilion pada akhir tahun lepas kepada syarikat tujuan khas itu sebagai sebahagian daripada pelan penyusunan semulanya. Dana itu juga mengurangkan pendedahannya dalam ekuiti dengan mengalihkan tumpuannya kepada pendapatan tetap bagi meminimumkan risiko.

Di bawah kepimpinan Zukri, TH berjaya memulihkan lembaran imbangannya selepas beberapa tahun mencatatkan defisit terkumpul yang membawa kepada pembayaran dividen tidak sah kepada pendeposit sejak 2014.

"Tugas terbesar kami buat masa ini adalah namun untuk memulihkan lembaran imbangan Tabung Haji agar kami dapat membayar, bukan hanya bagi 2018 tetapi juga pada masa depan,” katanya.

TH mengumumkan hibah 1.25 peratus kepada pendepositnya bagi tahun kewangan 2018, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM913 juta bagi 9.3 juta pendeposit TH.

Zukri juga menyangkal persepsi bahawa beliau menerima tekanan untuk meletakkan jawatan.

"Terdapat banyak persepsi dalam pasaran, yang kami tidak boleh sekat. Ada yang kata saya tidak mencatatkan prestasi, itulah sebabnya kemungkinan mengapa kerajaan menyingkirkan saya.

"Ada juga persepsi yang Tun Daim (Tun Daim Zainuddin, bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan) hilang sabar dengan apa yang berlaku dalam Tabung Haji.

"Saya bukanlah nak kata apa tapi pencapaian saya di Bank Islam juga dipersoalkan. Tetapi anda boleh lihat sendiri bank itu semakin berkembang kukuh,” katanya.

Sebelum pelantikan beliau di TH, Zukri berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Bhd dan Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Bhd lebih sedekad.

Beliau juga berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Khazanah Nasional Bhd dan Pengarah Urusan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, syarikat pengurusan aset negara yang ditubuhkan kerajaan semasa krisis kewangan 1997/1998 untuk mengambil alih pinjaman tidak berbayar bank-bank.

Apabila ditanya perasaan beliau menamatkan perkhidmatannya pada Hari Merdeka, Zukri berkata: "Inilah yang saya katakan kepada rakan-rakan saya, tahun ini saya sambut Merdeka berganda,” katanya. - Bernama