PRN: Prestasi buruk UMNO sudah dijangka - Syed Hamid

Syed Hamid ketika program Wacana Sinar 408 membincangkan tajuk Pasca PRN: Rakyat Sudah Bersuara pada Selasa.
Syed Hamid ketika program Wacana Sinar 408 membincangkan tajuk Pasca PRN: Rakyat Sudah Bersuara pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Prestasi buruk UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri minggu lepas sudah dijangka awal berdasarkan gelombang kebangkitan rakyat yang menolak parti itu pada Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Veteran politik, Tan Sri Dr Syed Hamid Albar berpandangan, parti keramat orang Melayu itu diibaratkan sebagai sebuah kapal besar yang mempunyai lebihan muatan sehingga tidak mampu beralih kepada pembaharuan.

"Banyak orang dah ramal (prestatsi UMNO). Lihat pilihan raya pada 2003, UMNO mencipta prestasi terbaik dalam sejarah politik Malaysia, namun pada 2008, semakin merudum malah tidak sampai dua per tiga sokongan rakyat terhadap UMNO.

"Itu semua tanda-tanda apabila 2013 sekali lagi prestasi UMNO merosot. Kalau tidak belajar dari sejarah dan tidak faham untuk membaca carta yang dibentangkan dengan data yang ada, inilah nasib UMNO pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Wacana Sinar 408 bertajuk Pasca PRN: Rakyat Sudah Bersuara yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut diundang sebagai panelis ialah Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; Setiausaha Kerja Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Iswardy Morni dan Ketua Pegawai Eksekutif Patriots Asia, Jamalee Bashah.

Dalam pada itu Syed Hamid yang juga merupakan bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, tanda-tanda kejatuhan UMNO sudah 'dihidu' sekian lama, namun dinafikan sesetengah pihak.

"Bukan sesuatu yang luar biasa, telah dibincangkan (kejatuhan UMNO). Kalau tanpa Tan Sri Nik Abdul Aziz (bekas Presiden Pas) dahulu pun, kita dalam UMNO merasakan banyak tanda-tanda akan jatuh, melainkan bawa perubahan yang radikal.

"Orang yang radikal (ialah) orang UMNO, sama ada dari PKR atau Pas, mereka asalnya dari UMNO.

Artikel Berkaitan:



"Mereka cari ruang baharu untuk menyegarkan politik dan tentukan terus berada (dalam politik), memainkan peranan bagi meneroka cara baharu untuk memajukan kepentingan rakyat," ujarnya.

Sementara itu Syed Hamid turut berpendapat, PRN di enam negeri tidak melambangkan referendum rakyat terhadap kepimpinan kerajaan ketika ini, namun lebih kepada ekspresi ketidakpuasan hati.

"Ini adalah sistem demokrasi. Yang penting sekarang adalah bagaimana nak maju kehadapan. Rakyat tidak mahu kepada janji-janji tetapi mahu negara yang maju, banyak pembangunan dan sebagainya.

"Kita kena matang dalam politik, tetapi orang politik kena sedar bahawa retorik politik kini sudah tiada nilai, orang nak tengok amal dan bagaimana kita boleh melaksanakan janji-janji," ujarnya.