Sudarti tak pernah tinggal Malaysia #QuranHour

Sudarti bersama anak-anaknya turut memeriahkan Malaysia #QuranHour di Masjid Putra, di sini hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Berjaya menyertai Malaysia #QuranHour untuk tahun kelima berturut-turut, hari ini bukan sahaja satu kepuasan buat Sudarti Suparmin, sebaliknya apa yang lebih penting adalah ilmu yang diperoleh menerusi program bermanfaat itu.

Menurut suri rumah berusia 37 tahun itu, dia dan suami, Fazrul Ismail, 39, merupakan pencinta program-program ilmu khususnya melibatkan al-Quran.

"Alhamdulillah, tahun ini merupakan kali kelima saya sertai atau lebih tepat lagi saya tidak pernah tertinggal mengikuti program ini sejak edisi pertama lagi.

"Bagi saya, Malaysia #QuranHour ini sangat bermanfaat untuk semua pihak mendalami lagi al-Quran," katanya ketika ditemui pada program Malaysia #QuranHour yang berlangsung di Masjid Putra, di sini hari ini.

Menurut Sudarti yang kini menetap di Shah Alam, dia dan suami juga akan memastikan anak-anak turut dibawa bersama mengikuti program tersebut.

"Kesemua anak-anak saya seramai enam orang tetapi hari ini hanya tiga sahaja yang dapat bersama kerana yang lain-lain berada di asrama.

"Walaupun anak-anak saya masih kecil untuk memahami pengisian sebenar program ini, tetapi setidak-tidaknya saya ingin dedahkan mereka dengan ilmu al-Quran," katanya.

Katanya, bagi memastikan anak-anaknya yang berusia antara tujuh, empat dan setahun itu tidak 'meragam' sepanjang berlangsungnya program tersebut, dia akan pastikan mereka diberi makan terlebih dahulu serta turut bawa bersama barang-barang mainan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Malaysia #QuranHour berlangsung hari ini

Pelajar, guru teruja sertai Malaysia #QuranHour