Kaji semula kewujudan JKKR Felda

Mohd Husni
Mohd Husni
A
A
A

IPOH - Kementerian Hal Ehwal Ekonomi diminta menilai semula kewujudan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) di seluruh tanah rancangan Felda di negara ini.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tanjung Malim, Mohd Husni Muhamed Nor berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan kerana mereka sebelum ini gagal menjadi ejen penghubung di antara pihak pengurusan dan peneroka Felda itu sendiri.

Katanya, mereka tidak melaksanakan tugas menyampaikan maklumat yang benar dan lengkap kepada peneroka berkenaan dengan krisis yang dihadapi oleh Felda ketika ini.

"Jawatankuasa ini masih lagi tiada berlaku perubahan besar yang masih diisi oleh orang-orang penting dalam UMNO itu sendiri. Sebagai contoh, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohammed Shariff adalah tulang belakang kepada UMNO Bahagian Tanjung Malim. Jadi secara logiknya, bagaimana jawatankuasa ini boleh membantu kerajaan sekarang jika mereka ini berada di pihak parti pembangkang.

"Jadi AMK Cabang Tanjong Malim tidak terkejut dengan kejadian yang berlaku ketika Sambutan Hari Peneroka 2019 di Felda Selancar 3, Pahang. Seharusnya selepas perkara tersebut berlaku, pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedar dan punyai langkah-langkah menghindari tindakan tersebut berulang," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Felda dalam kenyataanya mengumumkan pelantikan Sulong Jamil sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda.

ARTIKEL BERKAITAN: Felda lantik peneroka jadi Ahli lembaga Pengarah

Dalam pada itu, Mohd Husni turut mendedahkan terdapat JKKR Felda tertentu yang dijadikan sebagai medium untuk memperkukuhkan semula cawangan UMNO di tanah rancangan itu.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, terdapat ahli-ahli UMNO di tanah rancangan Felda yang menggunakan JKKR itu untuk menyebarkan maklumat-maklumat palsu menyebabkan peneroka marah kepada pihak pengurusan Felda yang sekaligus tidak mencerminkan mereka ini sebagai ejen Felda itu sendiri.

"Menteri yang bertanggungjawab jangan terlalu sibuk mengiringi orang-orang penting, tetapi terlupa dengan tugas portfolio sendiri.

"Justeru, kami meminta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku menteri yang ditugaskan untuk portfolio Felda untuk menilai semula kewujudan JKKR di setiap tanah rancangan," katanya.

Menurut Mohd Husni, penilaian semula itu perlu dibuat untuk kebaikan masa depan Felda dan peneroka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!