Felda lantik peneroka jadi Ahli lembaga Pengarah

Sulong Jamil Mohamed Shariff
Sulong Jamil Mohamed Shariff
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda yang baharu.

Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar berharap agar pelantikan itu menjadi satu pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat antara pengurusan dengan kepimpinan peneroka serta menjadi pemudah cara dalam pelaksanaan dasar-dasar yang melibatkan peneroka.

Jelas beliau, dengan pelantikan itu, barisan Ahli Lembaga Pengarah Felda kembali dianggotai oleh wakil peneroka selaras dengan aspirasi untuk memperkasa suara peneroka dalam pentadbiran dan penggubalan dasar Felda sekali gus menjaga kesejahteraan warga peneroka keseluruhannya.

"Ini juga membuktikan bahawa Felda sentiasa mendengar suara dan gesaan peneroka serta generasi baharu Felda untuk memperkukuh peranan peneroka dengan penglibatan secara terus di peringkat

Lembaga Pengarah.

"Felda mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Sulong Jamil dan berharap beliau akan dapat menyumbang dalam fasa pemulihan Felda kini serta melonjakkan kembali kedudukan Felda sebagai agensi pembangunan tanah yang disegani," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Pelantikan berkuat kuasa pada 20 Ogos 2019 itu dibuat selepas mendapat persetujuan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sulong Jamil juga merupakan Ketua Peneroka Wilayah Trolak dan merupakan Ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) sejak tahun 2011.

Artikel Berkaitan:

Beliau mula menyertai tanah rancangan Felda Sungai Behrang pada tahun 1982 dan sejak itu telah terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti kepimpinan di peringkat rancangan dan wilayah termasuk Pengerusi Belia dan Timbalan Pengerusi Masjid.

Beliau juga pernah dianugerahkan Pingat Ahli Mahkota Perak atas sumbangan dan jasa beliau kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Sulong Jamil berkata, antara aspirasi aspirasi yang akan dibawa selepas menggalas tanggungjawab tersebut adalah untuk memastikan kelancaran Program Pembangunan Peneroka serta Pengurusan Lestari Kebun Peneroka supaya pendapatan dapat ditingkatkan dan mampu memberi manfaat optimum kepada semua warga peneroka.

"Saya juga akan berusaha menjadi penghubung yang berkesan antara Felda dengan peneroka dalam mendapatkan pandangan dan juga sokongan mereka bagi inisiatif-inisiatif Felda.

"Kekuatan Felda terletak pada komuniti dan petugas-petugas. Menyantuni peneroka dan generasi

baharu amat penting kerana jika mereka didedahkan dengan maklumat yang jelas, tidak susah untuk pengurusan melaksanakan dasar tetapi jika mereka dipinggirkan, dasar yang baik juga menjadi sukar untuk dilaksanakan kerana tidak mendapat sokongan,” katanya.

Pelantikan tersebut turut mendapat respons positif daripada barisan Ahli Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) yang juga Timbalan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Karip Mohd Salleh yang menyifatkan pelantikan itu sebagai satu pengiktirafan yang besar terhadap jasa peneroka dan juga membolehkan suara peneroka didengari dengan lebih dekat lagi.

"Ia juga satu pengiktirafan daripada kerajaan kepada Ketua Peneroka dan satu langkah yang baik dari kerajaan untuk keharmonian warga peneroka sendiri," ujarnya.

Sementara itu Ketua Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Wilayah Terengganu, Dasia Dollah, mengucapkan terima kasih kepada Felda dan berasa berbangga dengan adanya wakil peneroka sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda.