'Kawal punca pencemaran lebih baik daripada merawat sungai'

Zaki (tengah) ketika menjadi panel Wacana Hala Tuju Isu Pencemaran Pasir Gudang di Taman Rinting, Masai hari ini.
Zaki (tengah) ketika menjadi panel Wacana Hala Tuju Isu Pencemaran Pasir Gudang di Taman Rinting, Masai hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Punca pencemaran perlu segera dikawal bagi mengelakkan sungai terus dicemari.

Pakar Kualiti Air dan Permodelan, Ir Dr Zaki Zainuddin berkata, kerja merawat air sungai memang boleh dilakukan, namun pencemaran tidak akan berakhir.

"Pada saya, kawal punca pencemaran merupakan langkah paling mampan sebab kalau rawat air sungai sekalipun dan tidak kawal punca pencemaran, ia akan jadi balik.

"Itu yang kritikal. Cuma saya tahu nak buat itu bukan mudah," katanya kepada pemberita selepas Wacana Hala Tuju Isu Pencemaran Pasir Gudang di Taman Rinting, Masai hari ini.

Beliau turut mendakwa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 tidak mengawal beban pencemaran daripada sisa industri yang dilepaskan ke sungai, sebaliknya akta itu hanya mengawal kepekatan sisa.

"Kita kawal dari segi kepekatan sedangkan kita tidak mengawal beban pencemaran. Sebenarnya kalau kita nak sungai itu kekal bersih dan tidak tercemar, kita mesti kawal bebannya.

"Beban ini mengambil kira saiz sungai, berapa banyak bahan tercemar dilepaskan... bukan sahaja dari segi kepekatan," katanya.

Menurutnya, negara maju sudah berpuluh tahun menggunakan strategi mengawal beban pencemaran ini.

Artikel Berkaitan:

Zaki
Zaki

"Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Korea, Jepun dah guna strategi Total Maximum Daily Load (TMDL) untuk mengawal beban pencemaran ke dalam sungai. Ini strategi kawalan pencemaran, kita tak buat perkara ini.

"AS contohnya dah guna strategi ini 40 tahun lalu. 10 tahun lalu perkara ini telah disuarakan, namun jawapan diberi ketika itu belum bersedia. Sekarang 10 tahun kemudian masih kata tak bersedia, kita sudah ketinggalan 40 tahun.

"Kuncinya kita kena mulakan, kalau nak tunggu semua sedia, memang tidak akan berlaku. Bagi saya, akta ini perlu ada pindaan," katanya.

Zaki turut mendedahkan telah mengemukakan cadangan kepada pihak berwajib supaya menjalankan kajian ke kawasan-kawasan yang berpotensi menerima nasib sama seperti Pasir Gudang.

"Saya kaji semua sungai di Malaysia tapi saya tak nak sebut mana-mana. Cuma saya ada sarankan kepada pihak berwajib untuk menjalankan kajian bagi kawasan-kawasan yang mungkin berisiko berdekatan dengan kawasan industri. Banyak tempat.

"Cuma paling teruk memang di Pasir Gudang, tapi tidak bermakna tiada tempat lain yang berisiko. Sebab itu perlu hati-hati. Kena lihat, ada tak kawasan lain yang berisiko?

"Itu pengajaran yang kita boleh ambil dari kawasan sini. Jangan nanti dah terjadi barulah kita nak tercari-cari. Dah tak guna. Kita kena bersedia bermula daripada sekarang," katanya.

Bagaimanapun, beliau akui kerajaan telah sedaya upaya menangani isu pencemaran di Pasir Gudang kerana bukan mudah untuk mengesan punca pencemaran.

Beliau turut menolak cadangan supaya Sungai Kim Kim ditimbus kerana sungai berkenaan merupakan laluan air semula jadi dan dikhuatiri akan berlaku banjir di kawasan tersebut.