Tak wajar boikot produk bukan Muslim: Menteri

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

SERDANG - Kempen boikot produk bukan Muslim yang dibangkitkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dianggap tidak bersesuaian dengan konteks Malaysia yang terdiri dengan kepelbagaian kaum.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, pihaknya juga beranggapan usaha kempen tersebut tidak memberi kesan kepada usahawan-usahawan di negara ini.

Sebagai contoh, beliau berkata, di utara tanah air, dianggarkan sekitar 70 peratus pembuatan barangan halal dikeluarkan oleh orang bukan Muslim.

"Tak perlu produk buatan tempatan ini kita buat begitu (boikot). Mana-mana pihak yang mendapat kelulusan dan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) boleh pasarkan produk mereka.

"Tak perlu boikot (kerana) itu tak konstruktif," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Redzuan berkata demikian menjawab soalan pemberita yang bertanyakan sama ada usahawan di negara ini akan terjejas dengan kempen yang digerakkan itu.

Sebelum ini, NGO Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) dilaporkan menggerakkan Kempen Membeli Produk Muslim kepada masyarakat Islam di negara ini.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahya berkata, kempen tersebut bertujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam dan memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Redzuan berkata, pihaknya tidak dapat menghalang tindakan sebilangan pihak yang aktif menggerakkan kempen tersebut melalui laman sosial kepada orang ramai.

"Itu kita tak boleh halang. Dia boleh sebar apa sahaja, jadi terpulang kepada pengguna untuk menilai sendiri perkara itu," katanya.