FAM tidak berhutang dengan TMJ - Hamidin

Hamidin
Hamidin
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan badan induk itu mempunyai hutang dengan Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Hamidin, hutang yang dimaksudkan oleh Tunku Ismail itu mungkin membabitkan pembayaran hadiah kemenangan yang masih belum dijelaskan sepenuhnya oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kepada JDT.

"Tak ada... saya tak pasti kita ada hutang atau tidak. Saya rasa, pandangan saya mungkin MFL... mungkin ada sedikit hadiah kemenangan yang belum dilunaskan.

"Tapi saya rasa mungkin hampir dilunaskan... saya rasa. Tapi dengan FAM tak ada.

"Mungkin kelewatan membayar wang kemenangan, tapi ia mungkin dah dijelaskan, mungkin boleh semak dengan Datuk Ab Ghani (Presiden MFL)," katanya ketika ditemui media di Majlis Terbuka Aidilfitri di kediamannya pada Sabtu.

Sebelum ini, Tunku Ismail mendedahkan FAM mempunyai hutang lama yang belum dilunaskan kepadanya dan mahu ia ditolak melalui denda yang akan dikenakan kepada kelab itu selepas tiga kali membakar suar dalam saingan Liga Super.

Penyokong tegar JDT iaitu Boys Of Straits (BOS) membakar suar selepas perlawanan yang sebenarnya melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.