Gojek dan respons negatif sesetengah pihak

No Image Caption
A
A
A

KABINET baru-baru ini bersetuju mewujudkan teksi motosikal atau Gojek. Bagi Merak Jalanan, perkhidmatan Gojek secara dasarnya amat baik kerana ia lebih memberi manfaat kepada masyarakat.Yang menjadi masalah apabila timbul respons negatif pelbagai pihak. Agaknya memang sudah jadi budaya rakyat Malaysia, apa saja idea baharu, pasti ada bangkangan.

Antara yang dibangkitkan ialah isu keselamatan. Bagi Merak Jalanan, selagi ada peruntukan undang-undang, selagi itu keselamatan terjamin. Cuma sejauh mana penguatkuasaan yang akan diambil nanti, itu belum dapat dipastikan.

Kemudian timbul pula isu pembonceng bukan muhrim. Merak Jalanan hormati pandangan agamawan berhubung isu ini tetapi bagi Merak Jalanan, ia boleh dihindari. Kalau nak kata Gojek menggalakkan maksiat, rasanya banyak lagi perkara maksiat lain yang lebih besar di Malaysia perlu diberi perhatian.

Tidak cukup dengan itu, timbul pula pandangan bahawa Gojek langkah terkebelakang. Rugi kerajaan melabur berjuta-juta ringgit untuk infrastruktur canggih seperti LRT.

Kena ingat, kalau nak naik LRT, kena naik di stesen. Macam mana mereka nak pergi ke stesen jika tidak ada pengangkutan? Sudah tentu Gojek lebih mudah dan murah, ambil terus di rumah.

Apa pun, selagi belum wujud, selagi itu akan ada golongan ‘bijak pandai’ memberi pendapat mereka. Tunggu sajalah hasil kajian Kementerian Pengangkutan nanti dengan mengambil kira semua pandangan orang ramai itu.

Teringat pula Merak Jalanan kepada dialog Allahyarham AR Tompel dalam filem Anak Bapak: “Eh kalau asyik bangkang aje, bila bicara nak habis daa...”

Artikel Berkaitan: