Selera murid sekarang sudah tinggi

Gambar hiasan - Foto sumber internet
Gambar hiasan - Foto sumber internet
A
A
A

KELMARIN, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan cadangan sarapan percuma buat semua murid sekolah rendah di seluruh negara mulai tahun hadapan. Ia bagi memastikan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan dalam pelajaran setiap hari.

Walaupun kaedah dan perincian mengenai program ini masih belum diputuskan, namun setakat ini cadangan berkenaan menerima respons positif termasuk daripada netizen. Tak kisahlah ada yang menyamakan keputusan kementerian itu dengan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang dilaksanakan sejak 1979 oleh kerajaan terdahulu. Kalau benda baik, tak salah diteruskan.

Ibu bapa yang kurang berkemampuan, tidak perlu mengeluarkan belanja sekolah yang banyak kepada anak mereka selepas ini. Bagi ibu bapa yang bekerjaya, tidak perlu lagi tergesa-gesa menyediakan sarapan untuk anak-anak sebelum bergegas ke tempat kerja kerana semua sudah disediakan di sekolah.

Namun begitu, kementerian perlu membuat persediaan sebaik-baiknya sebelum memulakan inisiatif ini. Atas kertas mudah, tetapi cara pelaksanaannya mungkin tidak semudah disangkakan.

Melantik pengusaha kantin sebagai penyedia makanan adalah langkah terbaik berbanding memberi kontrak luar. Selain memudahkan pihak sekolah memantau, ia juga mengelakkan pengusaha kantin ‘berkecil hati’ kerana pendapatan mereka mungkin sedikit terjejas apabila murid tidak lagi membeli sarapan di kantin. Kalau lantik kontraktor luar, bimbang kroni-kroni yang mendapat kontrak berkenaan.

Pengusaha kantin pula janganlah mengambil kesempatan terhadap usaha murni kerajaan ini. Mereka bukan saja perlu pastikan kualiti makanan dan kebersihan terjamin, tetapi yang penting adalah selera murid. Dalam 2.7 juta murid itu, pasti akan ada ibu bapa yang cerewet bab makanan anak-anak mereka.

Bukan apa, zaman sekarang ini, selera murid sekolah sudah tinggi kalau nak dibandingkan pada zaman 70-an atau 80-an. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang sudah dibiasakan ibu bapa mereka makan di restoran mewah atau restoran makanan segera. Takut nanti timbul rungutan dan aduan dalam Facebook makanan disediakan tidak kena dengan selera anak mereka.

Nak bagi percuma pun payah.

Artikel Berkaitan: