Akui kita miskin, perbetulkan keadaan

A
A
A

BARU-baru ini, Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan bahawa kadar kemiskinan di Malaysia tidak realistik. Kenyataan beliau mengundang beberapa reaksi, positif dan negatif daripada pelbagai pihak.

Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi (MEA) dalam reaksi kepada itu mempertahankan statistik kerajaan yang menunjukkan kadar kemiskinan di Malaysia adalah 0.4 peratus.

Ada dua persoalan yang ingin saya ketengahkan mengenai hal ini. Pertama, adakah betul kadar kemiskinan di Malaysia yang diukur oleh MEA itu salah, iaitu benarkah tiada lagi orang miskin di negara kita ini? Kedua, adakah mereka yang ‘susah’ di Malaysia mendapat bantuan yang sewajarnya?

Menurut ukuran PLI (poverty line income) yang digunakan oleh MEA, isi rumah dikira miskin apabila pendapatan isi rumah tersebut adalah kurang daripada RM980 sebulan (di Sabah, RM1,180 dan di Sarawak, RM1,020). Kadar ini amatlah rendah. Untuk perbandingan, Palestin dan Zimbabwe, negara yang GDP per kapita hanyalah lebih kurang 1/10 dari Malaysia, mempunyai PLI yang lebih tinggi.

Data daripada MEA juga menunjukkan bahawa lima negeri mempunyai 0 peratus kadar kemiskinan (Johor, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya), manakala hampir kesemua negeri mempunyai kadar kemiskinan kurang daripada 1 peratus kecuali Sabah 2.8 peratus. Negeri yang dianggap ‘miskin’ seperti Kedah mempunyai kadar kemiskinan 0.2 peratus dan hanya 0.4 peratus di Terengganu dan Kelantan adalah 0.4 peratus.

Jika mengikut kaum, data yang sama menunjukkan kadar kemiskinan kaum Bumiputera adalah 0.5 peratus, berbanding Cina 0.1 peratus dan India 0.1 peratus. Di luar bandar, kadar kemiskinan 1 peratus, dan di bandar adalah 0.2 peratus. Dalam erti kata lain, adakah ini bermakna hampir tiada orang miskin di Malaysia? Jelas tidak.

Tidak dapat dinafikan bahawa kadar kemiskinan mutlak dapat diturunkan sejak merdeka, daripada hampir 50 peratus kepada 0.4 peratus sekarang ini. Namun, ini adalah berdasarkan unjuran kemiskinan mutlak yang tidak lagi sepatutnya menjadi satu-satunya kayu ukur untuk kadar kemiskinan. Malaysia kini mahu menjadi negara maju maka unjuran yang harus dipakai mestilah bersandarkan indikator yang digunakan oleh negara maju. Mereka menggunakan unjuran kemiskinan relatif, di mana sekiranya isi rumah itu mempunyai pendapatan kurang daripada 50 peratus pendapatan median, isi rumah tersebut dikira miskin. Jika inilah ukuran kita, kadar kemiskinan di Malaysia akan melonjak kepada 16 peratus pada 2016, naik sedikit berbanding tahun 2014 (15.6 peratus), walaupun ekonomi negara berkembang pada tempoh yang sama.

Ukuran relatif

Artikel Berkaitan:

Jika ukuran relatif ini diguna pakai, hampir satu daripada lima isi rumah Bumiputera adalah miskin dan lebih kurang satu daripada 10 kaum Cina dan India dikira miskin. Malah, lebih teruk lagi, kajian UNICEF dan DM Analytics tahun lepas yang menggunakan konsep yang sama menunjukkan hampir kesemua kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah di Kuala Lumpur hidup di bawah tahap kemiskinan.

Ini jauh sekali berbeza dengan konsep kemiskinan mutlak yang menunjukkan kadar kemiskinan di Kuala Lumpur adalah kosong peratus!

Kemiskinan juga haruslah dilihat daripada pelbagai sudut, seperti dari segi kesihatan. Kajian yang sama daripada UNICEF dan DM Analytics juga menunjukkan hampir satu daripada lima kanak-kanak di Malaysia terbantut. Malah, peratusan kanak-kanak terbantut di pantai timur sudah melepasi tahap kritikal di mana satu daripada tiga kanak-kanak di situ terbantut.

Tidak dinafikan bahawa MEA juga ‘monitor’ kemiskinan daripada pelbagai dimensi, seperti kesihatan, pendidikan, pendapatan dan juga taraf kehidupan. Kadar kemiskinan mengikut konsep ini adalah 0.9 peratus menurut data daripada MEA.

Namun, sekiranya beberapa indikator pendidikan dan pendapatan diubah sedikit kepada yang lebih realistik (seperti peratusan individu dewasa yang belajar lebih daripada sembilan tahun berbanding enam tahun), kajian Bank Dunia menunjukkan kadar kemiskinan mengikut konsep yang sama akan melonjak kepada hampir 20 peratus!

Walaupun kadar kemiskinan yang digunakan oleh MEA adalah 0.4 peratus (bersamaan 24,000 isi rumah), jumlah isi rumah yang mendapat bantuan adalah jauh lebih besar. Kita ambil bantuan tahun 2018 di mana sejumlah hampir RM27 bilion dibelanjakan sebagai bantuan sosial. Daripada jumlah itu, 75 peratus digunakan untuk tiga jenis bantuan iaitu subsidi minyak (RM7.5 bilion), bantuan pendidikan dan kebajikan (RM7 bilion), dan bantuan sara hidup (BSH) berjumlah RM5 bilion. Bantuan ini dinikmati semua, termasuk si kaya. Subsidi minyak lebih manfaatkan si kaya daripada si miskin. Bantuan pendidikan dan kebajikan dan BSH dinikmati oleh golongan B40. Ini bermaksud walaupun kadar kemiskinan mengikut MEA adalah 0.4 peratus, namun yang mendapat bantuan adalah lebih ramai daripada itu, termasuk si kaya. Ini tidaklah optimum dan efisien.

Dua perkara asas perlu kita lakukan sebelum memberi jalan penyelesaian terhadap isu kemiskinan. Pertama, paras kemiskinan harus diubah. Ia sudah lapuk. Kita tidak perlu malu jika indikator baru menunjukkan tahap kemiskinan yang tinggi. Itu adalah fakta, dan untuk menyelesaikan masalah, adalah lebih baik untuk kita menerima kenyataan. Barulah dengan pantas jalan penyelesaian dapat dicari.

Kedua, fokus utama bukan hanya kepada kemiskinan tetapi juga jurang kekayaan dan juga mobiliti sosial. Dasar yang diguna pakai mestilah berpaksikan objektif ini.

Tidak perlu saya huraikan polisi apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia. Yang penting ialah perlunya untuk menghadapi kenyataan bahawa ukuran yang kita guna selama ini harus diubah. Jika tidak, kita akan mengalami kemiskinan yang amat buruk sekali – kemiskinan jiwa dan moral. Ini tiada ubatnya.