Pengukuhan ringgit 'membimbangkan' rakyat Singapura

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada sekitar RM3.16 pada 9 Januari berbanding sekitar RM3.29 pada tarikh yang sama tahun lepas.- Gambar hiasan
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada sekitar RM3.16 pada 9 Januari berbanding sekitar RM3.29 pada tarikh yang sama tahun lepas.- Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu komen santai oleh seorang ahli politik Singapura telah mencetuskan perbincangan mengenai asas ekonomi Malaysia yang semakin bertambah baik, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipuji kerana berjaya memacu pengukuhan ringgit dan menarik lonjakan pelaburan asing.

Dalam satu hantaran di Facebook, ahli Parti Kuasa Rakyat (PPP), Derrick Sim secara berseloroh meminta Anwar untuk 'lepak sekejap' susulan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Singapura.

Sim turut berkongsi imej yang menunjukkan kadar pertukaran bertambah baik daripada RM3.18 kepada RM3.15 bagi satu dolar Singapura (SGD) dalam tempoh dua minggu.

"Kepada PM Anwar, pada pandangan saya, anda benar-benar salah seorang Perdana Menteri terbaik yang pernah dilihat Malaysia dalam tempoh yang sangat lama.

"Saya hanya ada satu permintaan kecil, sangat kecil: mungkin anda boleh lepak sekejap. Tak perlu bekerja keras sangat lah.

"Baru dua minggu lepas, SGD ke Ringgit adalah RM3.18, sekarang sudah RM3.15. Kalau terlalu kuat, nanti rakyat Singapura datang - hanya pesan roti canai kosong kemudian balik. Ramai antara kami masih sangat mementingkan bajet.

"Bertenang PM. Biar perlahan asal berterusan untuk menang perlumbaan,” tulis beliau di Facebook.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada sekitar RM3.16 pada 9 Januari berbanding sekitar RM3.29 pada tarikh yang sama tahun lepas.

Di ruangan komen, Sim menambah bahawa pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia telah melonjak sebanyak 47 peratus.

Artikel Berkaitan:

"Kami sedang bercakap tentang berbilion ringgit yang masuk ke dalam negara,” tulis beliau.

Sim berkata, syarikat global utama kini secara senyap tetapi pasti sedang memindahkan rantaian bekalan mereka secara besar-besaran keluar dari China dengan Malaysia muncul sebagai destinasi pilihan utama.

"Ia (Malaysia) tidak semahal Singapura, namun lebih stabil dan mempunyai institusi yang lebih dipercayai berbanding Vietnam.

"Ditambah pula dengan ekosistem semikonduktor yang mantap, Malaysia menjadi destinasi yang sangat menarik,” katanya.

Sim berkata, pemerhati tidak seharusnya terkejut jika ringgit terus mengukuh berbanding dolar Singapura, dengan kemungkinan bergerak ke arah julat 3.0 atau mencatat bawah paras psikologi 3 dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Pada masa yang sama, beliau menarik perhatian bahawa Penguasa Kewangan Singapura (MAS) sedang melonggarkan dasar kewangan yang memberi tekanan susut nilai tambahan kepada dolar Singapura dan meningkatkan kemungkinan pengukuhan lanjut ringgit.

Sebagai rujukan, Sim berkata, seawal September tahun lepas, kadar pertukaran masih berlegar sekitar RM3.30 bagi satu dolar Singapura.

Beliau berkata, kadar pertukaran mata wang tidak bersifat statik, sambil memetik contoh sejarah termasuk pada 1990-an apabila paun Sterling didagangkan pada kira-kira tiga kali ganda nilai dolar Singapura, serupa dengan situasi SGD-Ringgit sekarang.

"Kadar pertukaran tidak statik. Apabila asas ekonomi berubah, begitu juga dengan mata wang,” katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Ahli politik Singapura memuji ekonomi Malaysia dan PM Anwar Ibrahim atas pengukuhan ringgit
  • Ringgit mengukuh kepada RM3.15 berbanding satu dolar Singapura dalam tempoh dua minggu
  • Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia meningkat sebanyak 47 peratus
  • Syarikat global memindahkan rantaian bekalan ke Malaysia, menarik berbilion ringgit pelaburan
  • Ringgit dijangka bergerak ke arah julat 3.0 atau lebih rendah dalam 18 bulan akan datang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!