LHDN saman anak perempuan Najib

Nooryana Najwa (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen 8,Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Nooryana Najwa (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen 8,Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini. - Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anak lelakinya, Datuk Mohd Nazifuddin disaman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kini anak perempuannya pula diarah membayar RM10.3 juta cukai pendapatan yang tidak dibayar dari 2011 hingga 2017.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lepas di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor dengan menamakan Nooryana Najwa Mohd Najib, 31, sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Kerajaan Malaysia mendakwa Nooryana Najwa gagal mengemukakan Borang-Borang Nyata Orang Perseorangan di bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun-tahun taksiran 2011 hingga 2017 kepada LHDN.

Kerajaan Malaysia berkata, oleh itu, satu taksiran di bawah subseksyen 90(3) Akta Cukai termasuk penalti telah dibangkitkan melalui Notis-Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Kerajaan Malaysia mendakwa, oleh kerana Nooryana Najwa gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2011 sehingga 2017 itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.

Plaintif berkata, defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Kerajaan Malaysia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM10,335, 292.36.

Jumlah itu ialah RM2,807,452.42 (2011), RM30,738.28 (2012), RM6,943,811.07 (2013), RM313,967.02 (2014), RM56,048.65 (2015), RM158,922.46 (2016) dan RM24,352.46 (2017).

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, kerajaan Malaysia menuntut daripada defendan jumlah RM10,335, 292.36, faedah atas jumlah RM10,335, 292.36 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes secara ‘e-review’ pada 12 September di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, S S Malini Anne iaitu pihak-pihak yang terlibat mengendalikan kes secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mahkamah. - Bernama