Imam maut selepas ditikam ketika ambil wuduk

Keadaan imam tersebut, Allahyarham meninggal dunia setelah dia kehilangan banyak darah. - Foto: Agensi.
Keadaan imam tersebut, Allahyarham meninggal dunia setelah dia kehilangan banyak darah. - Foto: Agensi.
A
A
A

JAKARTA - Seorang imam meninggal dunia selepas ditikam oleh individu yang tidak dikenali ketika sedang mengambil wuduk solat Subuh pada Khamis.

Kejadian di surau Uswatun Hasanah, Kebon Jeruk, Jakarta Barat itu berlaku dengan begitu cepat sehingga jemaah yang hadir tidak sempat menangkap pelaku.

"Secara tiba-tiba datang si pelaku menikam imam itu, Allahyarham ada menjerit mengatakan bahawa ada pencuri, hingga jemaah lain datang menghampiri.

"Melihat keadaan dia, jemaah membawanya ke hospital, bagaimanapun dia tidak dapat diselamatkan, sementara pelaku tidak dapat ditangkap kerana berjaya melarikan diri," demikian menurut saksi kejadian Hasan Basri.

Hasan berkata, pelaku memakai baju berwarna kelabu dan hanya mengenakan seluar pendek ketika melakukan perbuatan tersebut.

"Memang terlihat seorang lelaki mundar-mandir di sekitar surau pada hari kejadian, jika diperhatikan memang dia seperti seorang yang pelik tetapi masa itu tidak fikir bahawa dia berniat mahu menikam imam.

"Kejadian ini amat mengejutkan kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, menurut penduduk setempat Allahyarham dipercayai tidak mempunyai musuh mahu pun memiliki masalah peribadi dengan orang kebanyakan.

Artikel Berkaitan:

Malah, Allahyarham digambarkan sebagai seorang yang mempunyai budi pekerti yang baik dan tidak suka mengganggu orang lain.

Polis kini sedang memburu pelaku dan telah mendapatkan keterangan daripada keluarga dan saksi kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!