Lelaki dipenjara 3 bulan peras ugut, cederakan polis bantuan

Zaidi (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Isnin.
Zaidi (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah melakukan pemerasan dan mencederakan seorang anggota polis bantuan.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zaidi Mahadi, 32, selepas dia membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia bersama-sama seorang rakan sejenayah yang telah dituduh dan dua yang masih bebas didapati melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun dengan memasukkan wang ke dalam akaun bank tanpa alasan yang munasabah.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 di bawah seksyen sama.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didapati dengan sengaja telah mendatangkan cedera kepada mangsa sama dan bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 di bawah seksyen sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 8 pagi di Taman Cheng Perdana dekat sini pada 1 Februari lalu.

Kejadian dipercayai berlaku apabila tertuduh bersama yang lain telah berkomplot cuba memerangkap mangsa dengan menyuruhnya datang ke rumah seorang wanita yang merupakan teman wanita kepada rakannya yang sebelum ini telah dituduh di mahkamah.

Wanita itu kemudian menghubungi teman lelakinya untuk datang ke lokasi bersama tertuduh dan seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas dan membuat alasan mangsa mempunyai hubungan dengan dirinya.

Artikel Berkaitan:

Mereka bersubahat lalu memukul dan memeras ugut mangsa dengan menyuruhnya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun wanita terbabit untuk menyelesaikan isu terbabit.

Sementara itu, tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi pertuduhan pertama dan satu bulan bagi pertuduhan kedua.

Mahkamah turut memerintah agar hukuman berjalan serentak bermula tarikh jatuh hukum pada Isnin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!